Amin Nazari

Perlawanan edisi kedua Unity Shield telah pun berlangsung semalam di Ipoh, Perak dengan kehadiran lebih 17,000 penyokong kedua-dua pasukan hadir untuk memberi sokongan.

Pada edisi pertama yang berlangsung musim lalu di Stadium Darulaman, Kedah telah menjuarainya. Namun pada edisi kali ini, Kedah gagal untuk mempertahankan kejuaraan mereka dengan dengan tewas kepada Perak sebanyak 1-3.

Perak selaku tuan rumah bermula garang seawal wisel permulaan ditiupkan. Intensiti tinggi dipamerkan skuad The Bos Gaurus dengan menekan pertahanan Kedah yang belum stabil untuk menyerap serangan lawan.

Pada minit ke-3, Shahrul Saad terlebih dahulu meledak gol dalam situasi kelam kabut di petak penalti Kedah untuk menceriakan penyokong tuan rumah. Enggan mengalah, Kedah turut hadir dengan beberapa siri serangan yang turut diatur mereka malangnya mereka gagal mendapat sebarang gol.

Aksi Shahrul Saad selepas menjaringkan gol pertama Perak semalam

Selepas itu aksi sedikit perlahan dipamerkan kedua pasukan. Tidak banyak dapat diperkatakan selain Perak yang sesekali hadir bahaya melalui J.Partiban yang sering mengkucar kacirkan pertahanan Kedah.

Kedah nyata mati di kawasan tengah semalam apabila gandingan Amin Nazari dan Baddrol Bakhtiar gagal mengawal tempo permainan pasukan dan tidak kreatif merencana serangan. Berbanding Leandro dan Careca yang lebih ‘fluid’ ketika menyusun atur serangan.

Pemain Import Kedah, Amin Nazari gagal di posisi beliau dan dikecam hebat oleh Netizen

Ketika segalanya tampak kekal dengan keputusan 1 jaringan milik Perak untuk menuju ke bilik persalinan, Shahrel Fikri berjaya meledak gol kedua Perak setelah menerima umpanan cantik dari De Paula. Keputusan separuh masa pertama tamat dengan Kedah 0-2 Perak.

Bersambung di separuh masa kedua, Kedah cuba menyaingi lawan dengan beberapa kali melakukan serangan yang lebih teratur dan pantas. Namun pasukan Hijaukuning ini masih lagi gagal menemui sebarang gol.

Keputusan Aidil Sharin melakukan pertukaran dengan memasukkan Fadzrul Danel dan Fayadh bagi menggantikan Zaquan Adha dan Amin Nazari nyata tepat apabila Kedah mampu beraksi dengan lebih stabil. Bahagian tengah dan serangan Kedah juga lebih stabil dengan mempamerkan rentak serangan lebih tersusun.

Hasilnya, pada minit ke-68 Kedah berjaya mendapatkan gol sulung mereka melalui Kpah Sherman setelah rembatan Fayadh sebelum itu gagal disambut kemas penjaga gol lawan, Mohammad Nasrullah.

Aksi Fayad dan Danel semalam merubah tempo perlawanan semalam di separuh masa kedua

Malangnya, pertahanan Kedah masih lagi belum efektif dalam perlawanan ini apabila sekali lagi bolos pada minit ke-77 apabila Careca meledak gol terakhir perlawanan untuk terus menceriakan penyokong tuam rumah.

Keputusan kekal dengan Perak berjaya menjuarai Unity Shield edisi kedua. Nyata Perak beraksi dengan penuh bertenaga dan Kedah gagal menyaingi lawan pada perlawanan semalam.

Apa yang dirisaukan ialah mengenai aksi permainan yang ditampilkan Kedah masih lagi hambar. Seolah tiada pelan tetap dalam permainan dan pemain-pemain yang agak longlai beraksi.

Kepah dikawal rapi oleh pertahanan Perak

Pasukan ini memiliki barisan pemain yang mantap serta jurulatih yang membawa reputasi besar pada musim lalu. Namun dimana silapnya pada tahun ini?

Dalam aksi semalam, Kedah gagal ‘settle down’ permainan dan aksi yang dipamerkan Amin Nazari dan Zaquan Adha agak mengecewakan dengan tidak memberi impak buat pasukan ketika menyerang. Barisan pertahanan juga agak longlai dengan beberapa kali mudah diceroboh lawan.

Amin dikecam teruk oleh penyokong Kedah di serata media sosial

Diharap barisan kejurulatihan dapat mengkaji kekalahan ini dan bangkit pada perlawanan akan datang. Ini penting kerana perlawanan Piala Sumbangsih akan berlangsung tidak lama lagi.

Buat para penyokong terima kasih kerana kehadiran anda memeriahkan perlawanan semalam. Semoga perlawanan Unity Shield musim depan akan terus meriah seperti edisi pertama dan kedua.

Sekian, terima kasih.

Pulun Kedah Pulun!

-Mohd Afiq Hafizuddin-

MISI KEDAH 2020 : Bersediakah Kita

Previous article

CIMB Piala Sumbangsih : JDT atau Kedah?

Next article