Saingan pusingan pertama Liga Malaysia telah pun tamat dengan pelbagai cerita sebelum kembali bersambung 9 Julai bagi Liga Super dan 18 Jun untuk Liga Perdana.

Dalam tempoh tersebut semestinya menjadi masa yang sesuai buat pengurusan dan kejurulatihan untuk memperbaiki aspek kelemahan yang ada dalam pasukan untuk mengharungi pusingan kedua liga nanti. Penambahan muka-muka baharu juga digiatkan oleh pasukan selain ada pemain yang dilepaskan kerana tidak memenuhi mutu yang diinginkan jurulatih.

aksi Kepah Sherman dalam salah satu perlawanan di Stadium Darulaman

Kem Kedah Darul Aman FC pastinya antara pasukan yang giat dalam memantapkan pasukan dengan beberapa rumours sudah bertebaran akan pemain import baharu. KDA FC antara pasukan yang sangat meriah apabila musim perpindahan pemain bermula. Pelbagai rumour menarik yang dicipta dengan nama-nama pemain yang kadangkala tidak terjangkau dek akal pada pemerhatian peribadi penulis.

Jika ada kemasukan pemain import baharu di kem Kedah, siapa pemain import yang akan meninggalkan pasukan? Ini pastinya menjadi tanda tanya kerana masih belum ada bayangan pemain import mana yang bakal disingkirkan menjelang pusingan kedua Liga Malaysia nanti. Penulis yakin Kpah Sherman dan Tchetche Kipre antara nama yang bakal terus beraksi bersama KDA FC.

Ketiga tiga pemain import Kedah dalam aksi perlawanan semalam. Rabih Ataya (tengah) adakah akan dikekalkan atau sebaliknya?

Antara 3 nama lain import Kedah Darul Aman FC seperti Anumathan Kumar, Renan Da Silva Alves, dan Rabih Ataya yang mungkin akan dilepaskan KDA FC untuk memberi laluan kepada import baharu. Jika diimbas mengenai 3 pemain ini, masing-masing mempunyai perjalanan yang berbeza sepanjang bersama skuad Hijaukuning ini.

Rabih Ataya merupakan antara big signing dalam Liga Malaysia pada musim ini yang dilakukan oleh pasukan Kedah. Membawa nama besar sebagai pemain utama skuad Lubnan, prestasi yang tinggi dibawa sepanjang bersama UiTM FC sebelum ini serta skil individu beliau yang sangat memukau.

Rabih Out? siapa penggantinya?

Ramai percaya Rabih bakal mencipta nama yang hebat seperti yang ditinggalkan bekas, Liridon Krasniqi memandangkan abiliti kawalan bola Rabih Ataya seakan sama seperti beliau. Namun impak yang ditinggalkan Rabih sepanjang bersama KDA FC setakat ini gagal memenuhi piawaian untuk menjadikan beliau sebagai seorang import yang bagus.

Tidak banyak yang dapat dicipta beliau dalam situasi menyerang dan sentiasa mudah kehilangan bola. Rabih juga bermasalah dalam mengadaptasi posisi di bahagian tengah kerana beliau lebih cenderung bergerak dari bahagian tepi untuk melakukan ‘cut inside’ seperti mana beliau lakukan bersama UiTM FC dan Lubnan. Beliau bukanlah pemain yang tipikal di sebagai Attacking Midfielder yang aktif di kawasan tengah.

Seterusnya, Renan Alves. Pemain ini merupakan import senior Kedah setakat ini yang sudah beraksi bersama untuk musim ketiga. Renan Alves yang berasal dari Brazil mula mendapat perhatian pada awal kemasukan dengan mempamerkan rentak permainan yang sangat bagus sebagai seorang pertahanan tengah. Namun konsistensi beliau juga tidak menentu dan seringkali membuat kesilapan mudah atau tak sepatut dilakukan sebagai seorang pemain pertahanan import kadangkala.

Renan juga khabarnya prestasi beliau sedang dinilai.. samada kekal tau tidak terpulang pada pengurusan KDA FC

Pemain ini kerap mengutip kad kuning kerana terjahan keras yang dilakukan serta agak lambat melakukan trackback ketika pasukan diserang balas. Keupayaan pemain ini sebagai pertahanan Kedah mungkin boleh dipuji ketika menemui rentak terbaik. Namun jika masalah-masalah seperti pergantungan dan kecederaan yang sering menghadirkan masalah buat kem Kedah, rasanya wajar pihak pengurusan memikirkan semula.

Terakhir, Anumathan Kumar. Pemain yang ditandatangani Kedah Darul Aman FC bagi kuota Asean beraksi sebagai pemain tengah pertahanan untuk musim kali ini. Anumathan yang berasal dari Singapura pada pendapat penulis telah memberi yang terbaik di posisi beliau. Mempunyai fizikal yang bagus sebagai seorang DM menjadikan beliau sangat efektif dalam menyerap asakan lawan selain merosakkan gerak-gerak yang dicipta lawan.

Anumathan juga sangat berkesan dalam pertarungan di udara kerana memiliki ketinggian dan daya lonjakan yang baik. Beliau mungkin tidak kreatif dan penting di bahagian serangan, namun sebagai seorang ‘Defensive Midfielder’ beliau sangat berdisiplin dan sentiasa sedia mematikan sebarang ancaman lawan. Cuma kelemahan yang kita lihat apabila setiap kali berdepan lawan ialah gap antara pemain tengah sentiasa jauh dan memudahkan cengkaman lawan untuk mengeksploitasi ruang tengah. Pada pendapat penulis rasany Anumathan Kumar sangat relevan untuk skuad KDA FC setakat ini dan konsisten di posisi beliau.

Jadi persoalannya, siapa yang akan digantikan? Hanya pihak pengurusan dan kejurulatihan KDA FC sahaja yang tahu. Selain memberi tumpuan kepada import, Aidil Sharin selaku ketua jurulatih juga wajar memberi ‘highlight’ kepada pemain-pemain bawah kendalian beliau yang masih kurang minit permainan seperti Zulkhairi Zulkifli (sudah dilepaskan KDA hari ini), Tam Tseang shung, Aiman Afif, dan Loqman Hakim.

Aksi Tam di Stadium Darulaman. Antara pemain yg kurang mendapat minit permainan.

Rasanya penggiliran pemain juga diperlukan untuk membuatkan para pemain sentiasa bersiap sedia diturunkan jika apa-apa kemungkinan berlaku. Misalnya Tam, pemain ini sudah 2 musim bersama KDA FC dan penampilan beliau hanya satu perlawanan untuk beberapa minit. Manakala bakat muda seperti Aiman Afif masih gagal menjengah dalam skuad utama walaupun mempunyai reputasi yang sangat bagus bersama skuad negara bersama Luqman Hakim suatu ketika.

Shanjar antara nama yang disebut bakal menyarung Jersi KDA FC

Pada pendapat penulis, penggiliran pemain simpanan dan utama sangat penting dalam memberi keseimbangan. Jika jurang minit permainan antara pemain pun jauh maka berlaku ketidakstabilan dalam pasukan sekaligus menyebabkan masalah untuk prestasi pasukan. Harus diingat, KDA FC akan mengharungi saingan AFC dan set pemain yang perlu disediakan wajar dalam keadaan yang mantap untuk bersaing.

Tiada guna juga jika rombakan pemain import dan tempatan dilakukan sekiranga jurang perbezaan antara pemain simpanan dan utama masih berlaku. Tidak salah sesekali merehatkan pemain utama yang dilihat agak merudum atau mendatar prestasinya kepada pemain simpanan yang mungkin ada sesuatu untuk ditonjolkan.

Coach Aidil masih berahsia dalam perancangan KDA utk saingan AFC dan baki Liga Super nanti

Paling dikesalkan penulis, Kedah Darul Aman FC dilihat sejak 1-2 tahun ini tidak begitu terampil dalam memperkenalkan pemain muda baharu yang berkualiti seperti dilakukan sebelum ini kepada Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid, Syazwan Tajuddin, Fayadh, Fadzrul Danel. Ada nama-nama berpotensi seperti Asnawi, Loqman Hakim, Aiman Afif, dan Zhafir tapi masih berpeluang menonjolkan diri dalam pasaran bola sepak negara.

Diharap pihak pengurusan dapat kembali melihat asas pembangunan bola sepak Kedah dalam membangunkan bakat muda yang pernah diberi jolokan sebagai kilang pemain muda Malaysia. Mengenai pemain import, pihak pengurusan dan kejurulatihan diharap dapat meneliti sebaiknya samaada sesuai atau tidak bersama pasukan.

AIman Afif dilihat masih belum mendapat minit permainan musim ini

Mengikut perkiraan, KDA FC sekarang mempunyai masalah dari segi kreativiti di bahagian tengah dan terlalu bergantung kepada duo Kpah dan Kipre dalam merencana gerakan kearah gol. Kita sering dimonopoli di kawasan tengah kerana tiada pemain yang kreatif mengawal dan mempunyai abiliti yang baik sebagai ‘box to box player’.

Setakat ini sahaja ulasan penulis dan diharap KDA FC dapat terus bersaing dengan lebih jauh di kejohanan AFC dan terus konsisten di saingan Liga Super untuk terus memberi cabaran baik buat semua pasukan.

Buat para penyokong, teruskan sokongan. Kekal jaga SOP elak daripada berada di kawasan orang ramai. Ingat, kita masih belum menang menentang wabak Covid-19 ini.

Sekian.

Kedah Gigit Jari, JDT Penalti Lagi

Previous article