Saban tahun, sebelum bermulanya liga, setiap pasukan akan mengadakan perlawanan persahabatan secara domestik atau menguji pasukan luar negara bagi menguji persefahaman pasukan dan mengekalkan stamina. Tempoh ini disebut sebagai pramusim dan jurulatih akan menggunakan tempoh ini sebaiknya dalam menguji pemain import/tempatan baharu dan mencari bayangan kesebelasan utama menjelang liga.

Kedah merupakan antara pasukan yang amat aktif musim ini melakukan perlawanan persahabatan bersama pasukan tempatan dan beberapa pasukan luar negara. Skuad ini telah berkampung di Krabi, Thailand selama 10 hari dan menguji 3 pasukan di Liga Thailand.

Daripada 8 perlawanan sepanjang tempoh pramusim, Kedah mencatat 5 kemenangan, 1 seri dan 2 kekalahan. Pada perlawanan pertama, Kedah sekadar seri bertemu Pulau Pinang dengan keputusan 1-1. Selepas itu, Kedah tewas mengejut kepada Perlis dengan keputusan 1-3. Setelah ketibaan jurulatih Aidil Shahrin Sahak, Kedah mula mencatat kemenangan pertama yang besar apabila menewaskan Kelantan dengan keputusan 4-1.

Setelah itu Kedah dan Perak mengadakan perlawanan tahunan, iaitu Unity Shield dimana Kedah berjaya mencatat kemenangan keatas juara Piala Malaysia tersebut dengan keputusan 2-0. Unity Shield mula diperkenalkan tahun ini dan Kedah menjadi tuan rumah pada edisi pertama dan selanjutnya bakal menjadi milik Perak sebagai tuan rumah.

Kedah turut melakukan perlawanan pramusim di luar negara dengan menjadikan beberapa pasukan Thailand sasaran untuk mereka menguji skuad. Di sana, Kedah menyertai kejohanan ‘Royal Trophy Princess Bajrakitibaya’ yang turut diwakili skuad Buriram United, Trang FC dan Surat Thani FC.

Kedah berjaya mencatat 2 kemenangan dan 1 kekalahan di sana. Mereka tewas kepada Buriram United pada perlawanan pertama dengan keputusan 0-2. Seterusnya mereka mencipta kebangkitan apabila menang 3-1 keatas Trang FC dan 3-0 keatas Surat Thani FC. Siri jelajah Thai ini mengambil masa 10 hari buat Kedah untuk menguji 3 lawan berbeza.

Perlawanan terakhir pramusim Kedah adalah menerima cabaran dari skuad Singapura, Home United di Stadium Darulaman. Kedah berjaya mencatat kemenangan besar keatas Home United dengan keputusan Kedah 4-0 Home United. Aidil Shahrin berjaya menjadikan penutup pramusim Kedah dengan cemerlang di hadapan ribuan penonton Kedah yang membanjiri stadium. Perasmian jersi terbaharu Kedah 2019 juga berjaya dilancarkan pada petang sebelum perlawanan dan skuad Kedah merasmikan jersi ‘home’ pada perlawanan menentang Home United.

Berikut merupakan senarai penjaring gol sepanjang aksi pramusim:
Jonatan Bauman (5 gol)
Fernando Rodriguez Ortega (5 gol)
Zaquan Adha (2 gol)
Baddrol Bakhtiar (2 gol)
Syahrul Azwari (1 gol)
Thanabalan (1 gol)
Renan Alves (1 gol)
Amirul Hisyam (1 gol)

Duo penyerang baharu Kedah iaitu Bauman dan Rodriguez mencuri tumpuan kali ini apabila masing-masing berjaya meledak 5 gol buat pasukan dan menyakinkan bahawa mereka paling layak mengisi kesebelasan utama dan bersedia untuk merobek mana-mana gawang lawan menjelang perlawanan liga kali ini.

Skuad Kedah dilihat mampu memberi saingan sengit pada musin ini jika dilihat sepanjang aksi perlawanan pramusim yang ditampilkan. Aidil Shahrin mampu membawa skuad ini dengan lebih jauh jika tiada sebarang masalah yang berlaku sepanjang musim ini. Pemain-pemain muda seperti Hidhir Idris, Mohamad Fayadh dan Fadzrul Danel dilihat sudah bersedia untuk merebut kesebelasan utama dan amat komited bersama pasukan. Begitu juga dengan pemain senior seperti Baddrol Bakhtiar dan Khairul Helmi Johari juga dilihat amat komited dalam membimbing pemain-pemain muda ini dan masih relevan bersama pasukan.

Moga musim ini menjadi musim yang amat terbaik buat Kedah dan seterusnya memacu skuad ini ke saingan ACL musim depan. Ameen.

Dari KL ke Kedah… Duo pemain berlainan posisi!

Previous article

Dari pemain bola sepak ke usahawan

Next article