Kedah melakar kemenangan besar di laman sendiri apabila berjaya menumpaskan cabaran Felda United dengan keputusan 4-0 di Stadium Darulaman dalam aksi ketiga Liga Super.

Lebih menarik, ini merupakan aksi sulung Kedah di laman sendiri setelah 2 perlawanan sebelum ini Kedah beraksi di Perak. Kehadiran ribuan peminat Hijaukuning nyata menyuntik semangat buat pemain-pemain Kedah beraksi dengan amat baik pada perlawanan ini.

Kedah yang dilihat mengekalkan pemain yang sama seperti perlawanan sebelum ini bermula dengan garang dan seperti dijangka, filosofi Aidil Sharin pastinya terarah kepada serangan dan sistem “pressing” yang diterapkannya. Nyata para pemain Kedah mendominasi permainan dengan hantaran-hantaran jauh yang baik dan cepat menutup ruang lawan daripada menyerang dan mengatur peluang.

Gol sulung Kedah terhasil pada minit ke 16 hasil rembatan Zaquan Adha di dalam petak gol setelah Fernando gagal menyudahkan peluang awal sebelum itu.

Sesekali Felda berjaya mencuri peluang untuk menguji Ifwat Akmal namun ianya masih belum cukup untuk diterjemahkan dalam bentuk gol. Hadin Azman dan Christie Jayaseelan nyata tidak mempunyai penghubung yang baik dari rakan sepasukan ketika mendapat peluang mengasak menyebabkan bola mereka dimatikan begitu sahaja oleh pertahanan Kedah yang ampuh pada perlawanan ini.

Tiada apa yang mampu dilakukan Felda United selain terus berkampung di kawasan sendiri menghadapi gelombang serangan Kedah yang mempunyai rangkaian peluang menambah gol namun dinafikan oleh palang gol dan Norazlan Razali. Akhirnya, Anmar Almubarakki berjaya menambah kegamatan di Stadium Darulaman apabila ledakan dari luar penalti beliau membuahkan gol buat Kedah.

Pemain ini mula dikritik beberapa penyokong sebelum ini lantaran aksi beliau yang kurang menyakinkan. Namun, malam ini pemain tersebut membuktikan bahawa beliau paling layak menyertai skuad Kedah musim ini. Beraksi di sayap kiri nyata menghadirkan keresahan buat pertahanan lawan mengekang asakannya yang pantas dan skil individu yang tinggi.

Menjelang separuh masa kedua, tidak banyak yang dapat dilakukan Nidzam Jamil terhadap anak buahnya dalam menahan gelombang “pressing” yang bertalu-talu dari Kedah. Mereka seolah sudah ‘mati’ dalam taktikal untuk perlawanan ini dan lebih banyak melakukan “clearance” berbanding mengatur serangan.

Shakir Hamzah berjaya menambah koleksi gol kedua beliau musim ini bersama Kedah apabila berjaya menanduk kemas hantaran sepak sudut yang diambil oleh Baddrol Bakhtiar pada minit ke 53. Ini menjadikan beliau penjaring terbanyak setakat ini buat Kedah. Suatu perkara yang unik buat pertahanan baru Kedah ini.

Pada minit ke 73, Kedah menutup malam gemilang di Darulaman apabila pemain muda berbakat, Fadzrul Danel bijak menyudahkan peluang gol untuk meletakkan debut gol pertama beliau bersama Kedah musim 2019. Pemain yang berjersi 20 ini nyata mencuri tumpuan ramai apabila terus beraksi sebagai kesebelasan utama Aidil Sharin sejak perlawanan pertama Liga Super. Nyata pemain ini berjaya membalas kepercayaan jurulatih muda Kedah itu dengan aksi yang amat mantap malam ini serta menghasilkan satu gol. Jika sebelum ini Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid berjaya menyinak bersama nombor jersi ini, adakah tahun ini nombor 20 terus bersinar buat bintang muda Kedah ini? Sama-sama kita doakan.

Secara keseluruhan, Kedah beraksi dengan amat baik malam ini. Apa yang kami perasan adalah stamina pemain yang berjaya dikekalkan sepanjang 90 minit ini wajar dipuji. Pemain-pemain mempunyai mobiliti yang baik atas padang serta sentiasa bergerak untuk menyukarkan pemain lawan melakukan “marking”. Perlahan-lahan apa yang diterapkan jurulatih Aidil Sharin mula menampakkan hasil. Semoga perancangan beliau terus berjalan lancar!

Kami warga Arena Hijaukuning sentiasa percaya akan pasukan dan terus memberi sokongan padu buat pemain supaya kejayaan akan datang dengan lebih banyak buat Kedah!

-Mohd Afiq Hafizuddin-

Baddrol Bakhtiar terus memimpin legasi baru!

Previous article

Hijau Kuning semakin yakin di persada liga

Next article