Kedah Darul Aman FC yang berpeluang mencipta kejutan untuk merebut takhta pertama Liga Super terpaksa akur dengan kekalahan di tangan pendahulu liga, JDT FC dengan jaringan 0-1 di Stadium Darulaman.

Gol yang terhasil melalui sepakan penalti Bergson Da Silva pada penghujung permainan mematikan hasrat untuk KDA FC sekurangnya mendapat 1 mata dan terus merapatkan jurang mata dengan pasukan lawan.

Penalti Bergsson penyelamat JDT dalam perlawanan ini

Permainan yang bermula pada awalnya dilihat sangat rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan KDA FC hampir mendapat jaringan awal melalui gerakan Sherman yang lincah untuk menghantar bola ke dalam petak penalti namun rembatan Ataya sedikit menghampakan untuk sekadar menemui tiang gol.

JDT FC juga ada beberapa gerakan yang berbahaya berjaya dihasilkan namun menemui jalan buntu dengan pertahanan Kedah yang berdisiplin mengawal pemain lawan dari masuk ke lebih dalam.

aksi Rizal Ghazali mengekang asakan JDT di separuh masa pertama

Peluang keemasan mereka terhasil melalui sepakan percuma yang diambil oleh Safawi Rasid namun rembatan beliau tepat dalam dakapan Shahril Shaari yang kemas membaca rembatan tersebut.

JDT FC yang lebih mendominasi permainan di tengah melalui rangkaian Afiq Fazail, Leandro Velazquez, dan Natxo Insa berjaya menenggelamkan barisan pemain tengah Kedah yang memaksa untuk lebih banyak bertahan dari merencana serangan.

Safawi Rashid dikawal rapi oleh Muhammad Farhan dalam perlawanan semalam

KDA FC lebih banyak menggunakan kepantasan Kipre dan kekuatan fizikal Sherman dalam melakukan serang balas dan sesekali berjaya merosakkan organisasi pertahanan lawan yang diketuai Aidil Zafuan.

Tamat separuh masa pertama tanpa sebarang jaringan dan ‘pace’ permainan yang agak tinggi dipamerkan oleh kedua pasukan. Cuma rentak permainan sedikit terencat dengan banyak tiupan wisel yang berlaku apabila kedua pasukan kerap melakukan ‘foul’.

Aksi aksi permainan banyak dilengahkan oleh asakan asakan oleh kedua kedua pasukan

Bersambung di separuh masa kedua, JDT FC meningkatkan ancaman pergerakan ke kubu pertahanan KDA FC untuk memaksa skuad kendalian Aidil Sharin melakukan kesilapan demi kesilapan agar mudah dieksploitasi mereka. Mujurlah disiplin pasukan Kedah Darul Aman FC ini terus kekal seperti separuh masa pertama dengan menggagalkan ancaman lawan dari memasuki petak penalti.

Lawan lebih banyak melakukan percubaan jauh dan lebih banyak bertindak dari tepi untuk melakukan hantaran lintang. Rodney Calvin antara yang wajar dipuji kerana sentiasa berada dalam posisi yang tepat untuk melindungi zon pertahanan KDA FC dari dicerobohi.

Kipre cuba mengasak kubu pertahanan JDT yg dikemudi oleh Adam Nor Azlin

JDT FC pula cuba menambah lagi kepantasan dalam serangan mereka dengan memasukkan Arif Aiman dan Sumareh. Manakala KDA FC cuba untuk mengukuhkan kawasan tengah mereka untuk mendapat lebih ‘fluidity’ dalam serangan dengan Fayadh Zulkifli dan Azamuddin Akil dibawa masuk.

Kedua pasukan yang melakukan pertukaran ini berjaya meninggalkan impak sekurangnya dengan Sumareh yang dilihat lebih segar untuk melakukan larian-larian deras dari tepi menuju ke kubu pertahanan Kedah.

Kepah Sherman juga dirantai rapat oleh pertahanan JDT

Azamuddin pula yang mempunyai teknik kawalan yang baik berjaya sekurangnya untuk menarik 1-2 pemain lawan dalam membuka ruang buat rakan sepasukan mencipta beberapa peluang.

Disaat masa penamat semakin menghampiri, akhirnya KDA FC tewas jua apabila kesilapan individu Renan Alves yang melakukan terjahan melulu keatas Sumareh untuk memberi lawan sepakan penalti. Bergson Da Silva yang memburu gol peribadi beliau ke-10 mudah menewaskan Shahril Shaari dengan rembatan padu beliau.

Tindakan Renan membuat unnecessary tackle dikecam penyokong Kedah

Keputusan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dengan KDA FC 0-1 JDT FC pada perlawanan pertama bagi pusingan ke-2 Liga Super di Stadium Darulaman. Permainan kali ini juga dicemari dengan beberapa insiden panas dari luar padang dengan pertelingkahan pegawai pasukan dan para pemain namun berjaya dikawal akhirnya dengan baik.

Antara perkara yang penulis ingin menyatakan kali ini adalah sekali lagi kesilapan Renan Alves apabila perlawanan besar berlaku dan kali ini beliau melakukannya sekali lagi dengan melakukan kekasaran yang sangat tidak perlu. Terjahan keras yang pada pengamatan penulis beliau cuma perlu melakukan ‘shielding’ keatas bola untuk menghalang Sumareh daripada bergerak namun beliau lebih memilih melakukan terjahan kasar yang sememangnya menghadiahkan penalti buat lawan.

Aksi Rodney Calvin banyak membantu pertahanan Kedah mengekang JDT

Tidak dinafikan aksinya antara yang sangat baik dengan mematikan ancaman lawan pada perebutan bola udara dan berjaya mengekang asakan Bergson Da Silva sepanjang permainan berlangsung. Namun sebagai pemain bola sepak yang berpengalaman lebih-lebih lagi sebagai pemain import, tindakan-tindakan sedemikian sangat sia-sia dan meranapkan harapan pasukan. Bukan sekali ini sahaja beliau lakukan tetapi sudah banyak kali aksi pemain ini diragui dengan ‘decision making’ yang beliau lakukan sangat teruk.

Diharap pemain ini dapat meningkatkan lagi ‘awareness’ beliau sebagai pemain pertahanan bola sepak. Selebihnya aksi KDA FC ini pada mulanya bermula dengan momentum yang sangat bagus namun perlahan-lahan ancaman yang dilakukan tuan rumah mula dineutralkan lawan dan kelibat Rabih Ataya dan Baddrol Bakhtiar agak tenggelam bila ditekan secara bertali arus oleh lawan.

Fizikal beliau cukup sasa di padang namun ball awareness serta overlap beliau agak lambat balik ke posisi asal jika naik ke atas

Persembahan yang dipamerkan Arif Farhan sebagai pertahanan kiri malam ini sangat memberansangkan namun beliau tidak dapat memberi lebih opsyen dalam membantu serangan berbanding Rizal Ghazali yang lebih efektif dalam membantu serangan.

Kpah Sherman dan Tchetche Kipre menjadi kunci utama jika Kedah mula melancarkan serangan dengan setiap kali KDA FC mendapat peluang untuk memulakan daripada 2 import serangan ini.

aksi panas separuh masa menghangatkan lagi suasana separuh masa pertama

Apapun, perlawanan malam ini sepatutnya KDA FC boleh mendapat peluang untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata atau mencari 1 gol dengan JDT FC yang sejak beberapa perlawanan sebelum ini agak ‘off form’ namun gagal dicuri peluang tersebut.

KDA FC kali ini bukanlah lawan yang mudah dibuli oleh JDT FC seperti perlawanan Piala Sumbangsih terdahulu, mereka nyata lebih bersedia dan lebih tajam untuk mengejutkan lawan namun peluang banyak tersia-sia.

aksi Shahril juga patut dipuji atas perlawanan semalam

Apapun inilah bola sepak. Adakala kita tak menjangkakan sesuatu yang akan berlaku dan adakala di saat kita merasa tiada lagi peluang, keajaiban berlaku.

Moga KDA FC kembali bangkit pada perlawanan seterusnya. Doa penulis agar segala perjalanan skuad kendalian Aidil Sharin ini dipermudahkan.

Pulun KDA FC Pulun!

 

Oleh: Afiq Rowley (Mohd Afiq Hafizuddin Bin Abd Halim)

#arenahijaukuning #kdafc #lottomy #kakijersi #viksproperties #cafediem #ezzonecomm #pulunkedahpulun #aorora

REVIEW: KDA FC MENERUSKAN MOMENTUM KEMENANGAN, SRI PAHANG TERUS DIRUNDUM KEKECEWAAN!

Previous article

SIAPA KELUAR? SIAPA MASUK?

Next article