Perlawanan ke-2 Liga Super melibatkan derbi utara antara pasukan Perak dan Kedah berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Gol pembukaan perlawanan terhasil pada minit ke-17 menerusi rembatan dari luar kotak penalti Brendan Gan yang bijak mengambil kesempatan akibat kekalutan di depan pintu gol Kedah.

Tidak menunggu lama, sepakan percuma daripada Baddrol Bakhtiar tepat ke Renan Alves sebelum beliau membuat satu rembatan padu untuk menewaskan Hafizul Hakim selang 3 minit kemudian.

Pasukan Kedah meraikan jaringan Renan Alves (kiri) dalam minit ke20 perlawanan
Khairil Ajhar / Arena Hijaukuning

Perlawanan yang agak tegang berlangsung seawal minit permainan berlarutan sehingga minit akhir perlawanan. Banyak kekasaran-kekasaran yang berlaku pada perlawanan ini baik daripada Kedah mahupun Perak melalui terjahan-terjahan yang dilakukan.

Lebih menarik lagi, perlawanan tertangguh hampir 25 minit permainan berikutan kontroversi yang berlaku susulan pengadil utama perlawanan mengalami kekejangan otot. Akibat daripada itu, kedua-dua pasukan mempunyai masalah dalam mengekalkan rentak permainan sehingga wisel penamat ditiupkan.

Dalam perlawanan ini, Kedah mempunyai beberapa masalah yang perlu digariskan oleh Aidil Shahrin untuk memantapkan kembali skuad ini. Kami percaya bahawa skuad ini bakal menjadi skuad yang amat baik pada musim ini cuma pendedahan dan masa yang diperlukan untuk membentuk skuad baharu 2019 ini.

Anmar dikatakan bukan berada dalam prestasi terbaik beliau semasa perlawanan di Stadium Perak tempohari.
Khairil Ajhar / Arena Hijaukuning

Jika dilihat, Kedah mempunyai masalah dalam mengatur serangan apabila gerakan-gerakan yang dilakukan terlalu ‘predictable oleh pasukan lawan. Anmar Almubarakki dilihat agak bergelut dalam prestasi beliau untuk membantu serangan Kedah apabila kerap terlepas bola dan hantaran-hantaran yang tidak menjadi.

Alif Yusof yang bermain di pertahanan kiri nyata menjadi lubuk untuk Perak menyerang dan memecah masuk blok pertahanan. Pemain yang baru menyertai Kedah musim ini perlu lebih bekerja keras untuk memastikan posisinya tidak terancam kerana Kedah masih mempunyai Azmeer Yusof dan Norfiqrie yang menunggu masa untuk beraksi.

Jelas dilihat pada perlawanan ini Perak merupakan pasukan yang lebih baik ketika bertahan mahupun menyerang. Skuad kendalian Aidil Shahrin dilihat bergelut untuk mengawal rentak pasukan Perak dan sentiasa diancam oleh Leandro dan Wander Luiz yang amat licik ketika menyerang.

Renan Alves nyata menjadi pemain import terawal yang mula disayangi penyokong Kedah apabila terus menonjol di bahagian pertahanan dengan beberapa kali menyelamatkan keadaan daripada bolos. Gandingan beliau bersama Shakir Hamzah kerap mematahkan serangan-serangan daripada Perak.

Kehadiran Jonathan Bauman dan Fernando Ortega untuk menambah sengat serangan Kedah boleh dikatakan agak baik kerana masing-masing mampu melakukan kombinasi bertukar hantaran dan posisi cuma mereka sering terputus hubungan di kawasan tengah untuk mendapat peluang menjana serangan.

Pemain tempatan yang wajar dipuji perlawanan ini adalah Fadzrul Danel apabila beliau merupakan pemain yang bijak melakukan ‘intercept’ meneutralkan ruang tengah serta lebih tenang mengawal bola untuk bergandingan bersama Baddrol Bakhtiar biarpun pemain ini masih muda.

Aksi Danial (kiri) dalam perlawanan Perak v Kedah di Stadium Perak Ipoh
Khairil Ajhar / Arena HijauKuning

Rumusannya, Kedah merupakan pasukan yang amat baik dalam organisasi pertahanan. Skuad ini mempunyai barisan pertahanan yang baik terutama gandingan Shakir dan Renan yang cemerlang sejak pramusim. Hanya pertahanan kiri, Alif Yusof perlu memperbaiki mutu permainan beliau untuk terus merebut kesebelasan utama.

Kedah juga dilihat semakin baik dari segi ketepatan hantaran jauh, sistem ‘pressing’ yang menjadi serta stamina yang semakin baik dalam setiap perlawanan. Cuma isu kreativiti dalam ‘zone 14’ untuk mencipta peluang gol sahaja perlu terus diperbaiki agar mampu terus memantapkan skuad ini.

Pasukan Kedah meraikan peminat yang hadir selepas terikat 1-1 dengan Perak
Khairil Ajhar / Arena HijauKuning

Kami di Arena Hijaukuning akan terus memberi memberi sokongan padu buat skuad Kedah musim ini dan percaya bahawa apabila tiba masanya, Kedah akan kembali menguasai Liga Malaysia.

(Mohd Afiq Hafizuddin)

 

Derbi Kuasa Utara! Milik Kedah atau Perak?

Previous article

Baddrol Bakhtiar terus memimpin legasi baru!

Next article