Setelah terikat dengan keputusan seri di Darulaman, Kedah dan Pahang bakal menentukan kuota final di Stadium Darul Makmur pada pusingan separuh akhir kedua Piala Malaysia ini.

Jika diimbas pada perlawanan separuh akhir pertama, kedua pasukan saling rancak menyerang dan memberikan saingan terbaik dalam memburu gol dan bekalan yang selesa. Pahang pastinya mempunyai kelebihan setakat ini dengan sekadar memerlukan keputusan seri di tempat sendiri setelah berjaya membawa bekalan 3 jaringan tempat lawan di Kedah minggu lalu.

Kedah pula, suka atau tidak pasukan ini haru mencatat kemenangan sekurangnya 1-0 untuk melayakkan diri mereka ke pentas final. Mereka tidak boleh seri tanpa jaringan atau bolos di Kuantan. Pastinya ujian getir menanti skuad kendalian Aidil Sharin dalam mengharungi perlawanan di Stadium Darul Makmur ini.

Kapten Kedah bakal mencorak permainan terbaik esok malam

Namun, Dollah Salleh juga tidak boleh terlalu selesa kerana beliau pasti menyedari bahawa Kedah juga mampu menampilkan kejutan dengan semangat juang yang dipamerkan skuad ini sehingga ke minit akhir sewaktu melayan kunjungan Pahang. Sedikit kesilapan, padah mungkin menanti skuad beliau.

Berdasarkan perlawanan lalu, terdapat beberapa nama pemain dari kedua pasukan ini yang wajar diberi perhatian. Baik Kedah mahupun Pahang, mereka mempunyai beberapa nama pemain mereka yang menjadi kunci utama kekuatan pasukan.

Kedah pastinya akan mempertaruhkan Baddrol Bakhtiar selaku salah seorang pemain utama yang konsisten sepanjang musim ini. Baddrol yang boleh beraksi di bahagian sayap dan pemain tengah pastinya akan terus bermain dan menghidupkan nadi Kedah. Pakar dalam meledak gol melalui tandukan serta ‘assist’ yang berbahaya, menjadikan beliau aset utama pemain tempatan dalam Kedah.

Keseluruhan pasukan akan berjuang habis habisan di Kuantan nanti

Pemain tempatan Pahang yang harus dikenalpasti pula pastinya Azam Azih yang bertindak selaku jeneral di bahagian tengah Pahang. Dengan usia yang masih muda, pemain ini amat bijak mengawal tempo permainan, melakukan hantaran jauh dengan tepat, serta berkebolehan meledak gol dari jarak jauh. Pemain muda ini pastinya akan dirantai skuad Kedah dari membiarkan beliau bebas membuka peluang buat rakan sepasukannya.

Pemain import Kedah yang diberi tumpuan perlawanan ini merupakan Fernando Rodriguez. Beliau yang meledak 2 gol sewaktu separuh akhir pertama minggu lalu, pastinya ingin meneruskan momentum beliau dalam merobek gawang gol Pahang. Beraksi selaku penyerang utama, Fernando sudah mencatat 6 gol sepanjang kempen Piala Malaysia dan merupakan penjaring terbanyak Kedah musim ini. Pastinya bertemu Pahang di tempat lawan akan menguji sepenuhnya kekuatan pemain ini.

Alex turut menjadi nadi utama gerakan gerakan bahaya ke kawasan Pahang tempohari di Darulaman.

Import Pahang yang berkualiti pula, penulis memilih Saddil Ramdani dari Indonesia. Pemain sayap dan serangan ini mempunyai larian deras serta skil individu yang sangat baik. Beliau merupakan antara faktor mengapa serangan Pahang minggu lalu sangat baik dan sangat pantas. Jika tidak dikawal, pemain ini pasti hadir memberi masalah buat pintu gol Kedah melalui hantaran-hantaran ke dalam petak penalti serta percubaan dari tepi.

Aidil Sharin dan Dollah Salleh pastinya sudah merangka dengan taktikal-taktikal mereka agar skuad yang dibawa masing-masing mampu menterjemahkan kejayaan buat diri mereka dan para penyokong. Samaada Aidil atau Dollah, keduanya bakal teruji siapa dulu bakal terperangkap dengan taktikal lawan.

Dijangka Stadium Darul Makmur bakal gamat dengan kehadiran para penyokong kedua pasukan. Penulis berharap agar para penyokong juga mampu menunjukan semangat kesukanan yang tinggi seperti perlawanan lalu di Stadium Darulaman. Buat para penyokong Kedah, semoga perjalanan anda pergi dan balik dipermudahkan. Sokonglah sepenuh jiwa demi pasukan kesayangan kita.

Aksi Zaquan menjaringkan gol penyamaan menentang Pahang tempohari


Akhir sekali, semoga pasukan kita mencatat kemenangan dan melayakkan kita terus ke final agar satu lagi kejayaan musim ini terpahat buat pasukan Kedah.

Pulun Kedah Pulun!

-Mohd Afiq Hafizuddin

Duo ‘R’ bantu Kedah menang di Manjung

Previous article

Hijau Kuning ke Bukit Jalil lagi

Next article