Pastinya masih ramai penyokong bolasepak tempatan membicarakan mengenai kemenangan Malaysia ke atas seteru utama, Indonesia baru-baru ini.

Siapa yang tidak gembira apabila mencatat kemenangan di gelanggang lawan dengan ribuan penyokong lawan yang menggila?

Namun, cabaran sebenar Malaysia ialah perlu berhadapan dengan salah satu jaguh Asia di halaman sendiri Selasa ini. UAE bukanlah satu nama asing dalam kalangan peminat Harimau Malaya. Terdapat detik-detik hitam dalam skuad ini yang masih tidak dapat dilupakan.

Aksi Sumareh selepas dimasukkan nyata merubah corak perlawanan Malaysia.

Apakan tidak pada tahun 2015, Malaysia mencatat kekalahan besar di tangan UAE dengan jaringan 10 gol diledak tanpa mampu dibalas skuad Harimau Malaya. Pada ketika itu Matt Davies antara pemain utama yang menyaksikan sejarah hitam tersebut di Stadium King Zayed dan pastinya episod itu mahu ditebus dengan suatu kejayaan di Bukit Jalil malam esok.

Berdasarkan prestasi semasa Malaysia, rasanya skuad ini menjadi semakin kuat dan semakin bijak mengaplikasikan taktikal dengan baik ketika bertemu dengan lawan. Skuad ini mempunyai kekuatan yang agak stabil dengan barisan pemain tempatan yang menjadi tumpuan ketika Liga Malaysia berlangsung.

Matt Davies salah seorang pemain yang menjadi tonggak pasukan ketika dibelasah 10-0

Apa yang sedikit menggusarkan ialah pasukan Harimau Malaya ini mempunyai masalah ‘lambat panas’ serta prestasi pertahanan yang agak kurang konsisten. Diharap isu ini dapat diperbaiki secepat mungkin untuk aksi malam esok.

Pemain tumpuan pada perlawanan seterusnya ini pastinya terarah kepada Sumareh yang telah meledak 2 gol ketika bertemu Indonesia. Larian pantas, skil, dan fizikal beliau amat diperlukan pada malam esok bagi menguatkan serangan bersama Safawi Rasid dan Mat Yo jika diturunkan.

Seorang lagi pemain tumpuan negara terarah kepada Brendan Gan yang sangat cemerlang ketika aksi menentang Indonesia. Kelibat beliau sentiasa memenuhi ruang padang dengan larian-larian deras bagi membantu setiap ‘department’ yang bermasalah. Beliau boleh menjadi pemain yang sibuk membantu serangan, dalam masa sama beliau juga tangkas dalam menyerap asakan lawan di tengah dari dikuasai lawan.

Pemain tumpuan yg tengah on-form Brian Gan ketika menentang Indonesia

Jurulatih Tan Cheng Hoe yang sudah tidak asing dalam kancah bolasepak tempatan ini pastinya mempunyai ramuan tersendiri dalam memerangkap lawan selain terus meningkatkan motivasi dalam kalangan pemain. Setakat ini kita mampu melihat skuad yang dibawa beliau semakin mendapat rentak dan semakin stabil dalam segenap posisi walaupun ada sedikit pertikaian mengenai pemilihan pemain yang dilakukan beliau.

Seterusnya penulis ingin mengulas mengenai skuad UAE pula. Skuad yang berada bawah kendalian jurulatih Bert Van Marwijk ini berada dalam ranking yang lebih tinggi berbanding Malaysia. Jurang ranking antara 2 negara ini amat besar selain kualiti yang ada pada skuad ini.

Mereka mempunyai barisan pemain yang lengkap di segenap posisi dan kelebihan fizikal pastinya digunakan sebaiknya sewaktu menentang Malaysia pada malam esok. Skuad yang menghadirkan mimpi buruk buat Harimau Malaya pada tahun 2015 ini pastinya ingin terus hadir sebagai pasukan yang menggerunkan buat Harimau Malaya.

Tampil dengan Omar AbdulRahman yang menjadi jeneral skuad di atas padang pastinya pemain ini wajar dikunci sebaiknya untuk mengelakkan kelibat beliau melakukan servis hantaran yang mampu memerangkap pertahanan negara.

Omar Abdul Rahman Kapten pasukan UAE ketika sidang akhbar pagi tadi – Foto Team Malaysia

Bersama Ali Mabkhout yang beraksi di serangan juga wajar dikawal dengan rapi oleh pertahanan negara. Penyerang UAE ini merupakan seorang pemain yang sangat berbahaya dalam petak gol dan mampu meledak gol dalam situasi yang tidak terjangka. Fizikal keras dan larian pantas pemain ini antara yang perlu dianalisa oleh pertahanan negara dalam mengawal beliau.

Jurulatih UAE, Bert Van Marwijk merupakan individu penting dalam skuad UAE. Mempunyai pengalaman membawa skuad Belanda pada Piala Dunia 2010 ke pentas final sebelum tewas di tangan Sepanyol pastinya jurulatih ini mempunyai rangkaian taktikal yang baik dalam menghadapi Malaysia dengan arahan-arahan tepi padang.

Perlawanan malam esok amat penting selain mengutip mata dan mengejar kedudukan teratas kumpulan. Perlawanan malam esok juga ialah perlawanan bagi menebus maruah skuad negara yang teruk dilukakan pada tahun 2015.

Misi boleh dan tidak msutahil untuk pasukan Malaysia

Diharap para penyokong dapat membanjiri stadium keramat negara kita sekaligus memberi sokongan padu buat skuad negara dalam menangani salah satu pasukan terkuat Asia ini. Semoga kita beroleh kemenangan dan terus mencipta rekod manis buat negara.

Penulis turut berharap agar para penyokong kita mampu menunjukkan sikap terpuji buat lawan dengan tiada sebarang provokasi melampau serta elakkan sebarang keganasan berlaku.

Ultras Malaya diharap dapat membuktikan yang penyokong Malaysia lebih sporting dalam menyokong pasukan kebangsaan

Semoga perlawanan malam esok dipermudahkan dan kita mencatat terus mencatat rekod kemenangan. Ameen.

-Mohd Afiq Hafizuddin-

Harimau baham Garuda!

Previous article

Harimau Malaya Tewas, UAE Hampir Dimalukan

Next article