Menjelang permulaan Liga Super musim 2020, dilihat semua pasukan bekerja keras dalam memantapkan pasukan serta menyediakan pelbagai modul latihan selain mengatur perlawanan persahabatan.

Kedah antara pasukan yang sangat aktif pada pra musim ini dengan mengatur banyak perlawanan pra musim termasuk jelajah ke negara luar untuk memberi pengalaman dan menajamkan lagi persefahaman skuad.

Pada musim ini, 12 perlawanan telah dihadapi Kedah termasuk 5 perlawanan di Kemboja dalam saingan RSN Smart Cup serta 2 perlawanan kelayakan ACL 2020.

Dari 12 perlawanan yang dilalui Kedah, 9 kemenangan berjaya dicatat dan hanya tewas sebanyak 4 kali. 25 jaringan juga berjaya direkodkan Kedah selain bolos sebanyak 16 kali.

Kipre : antara penyerang baharu yang dibawa masuk Kedah utk musim 2020

Selepas ini, Kedah akan bertemu Perak pula dalam misi mempertahankan Unity Shield di Stadium Ipoh. Pada edisi pertama Kedah berjaya menewaskan Perak di laman sendiri. Pastinya kejuaraan ingin terus dipertahankan Kedah walaupun beraksi di gelanggang lawan.

Kedah yang membawa rekod sebagai juara Piala FA 2019 serta naib juara Piala Malaysia 2019 pastinya akan menjadi pasukan tumpuan pada musim baharu ini oleh kebanyakan pasukan.

Juara Unity Shield edisi 2019 : Kedah

Ditambah dengan senarai pemain yang agak mantap membarisi skuad ini, pastinya memberi Aidil banyak pilihan dalam menentukan kesebelasan terbaik dalam setiap perlawanan.

Tahun kedua Aidil di Kedah pastinya memberi cabaran besar buat jurulatih dari Singapura itu untuk mempertahankan kejuaraan yang dilakarnya. Beberapa eksperimen dalam taktikal dan formasi dilampirkan beliau sepanjang aksi pra musim ini selain ingin menambah persefahaman antara pemain lama dan baharu.

Jurulatih Kedah, Aidil Shahrin perlu sediakan resepi terbaik untuk musim 2020 yang dilihat mencabar

Mencatat juara RSN Smart Cup di Kemboja serta meledak jaringan besar pada kelayakan pertama ACL 2020 di laman sendiri antara perkara menarik yang dicatat Kedah. Walaupun tewas di tangan Seoul FC di Korea Selatan, Kedah telah memperoleh pengajaran berguna untuk terus bersedia pada musim ini.

Agak membimbangkan bagi penulis kadangkala dengan aksi yang ditampilkan oleh Kedah. Corak permainan yang ‘direct’ serta ‘predictable’ sering ditampilkan oleh Kedah sepanjang pra musim ini selain beberapa siri kekalahan kepada pasukan yang tidak sepatutnya mereka tewas.

Ditambah dengan aksi import baharu, Amin Nazari yang masih belum meninggalkan impak penting dalam menjana gerakan di jentera tengah Kedah. Pemain yang mempunyai kerakyatan Filipina ini diberi tumpuan penting oleh peminat berikutan posisi tengah Kedah sangat kritikal pada musim 2019.

Amin Nazari dilihat kurang bermaya mengemudi tengah apabila ketiadaan Baddrol Bakhtiar baru baru ini

Kehadiran beliau amat ditagih untuk memberi impak penting dalam membentuk corak permainan Kedah yang lebih kreatif untuk membantu Kpah dan Kipre memburu gol. Namun aksi yang ditampilkan Amin setakat ini masih belum mencapai tahap sepatutnya.

Diharap Amin Nazari dapat menunjukkan taring sebenar menjelang permulaan liga ini. Sementara Kipre dan Kpah dilihat sangat serasi bersama pasukan dan berjaya membentuk kombinasi serangan yang amat bahaya. Kedua pemain ini saling melengkapi dan tidak tamak untuk membantu pasukan mencatat gol.

Impak yang ditinggalkan pemain tempatan baharu pula sebaliknya, Hadin Azman menjadi tumpuan dalam kem Kedah ketika ini. Pemain ini berjaya meninggalkan kesan positif dalam kalangan peminat dengan memberi aksi bertenaga serta mencatat gol-gol penting.

aksi Hadin selepas menjaringkan gol keduanya semasa perlawanan ACL baru baru ini

Penjaga gol Shahril Shaari juga meninggalkan impak positif bersama Azri Ghani dan Ifwat Akmal untuk terus bersaing sengit merebut posisi utama penjaga gol Kedah musim hadapan. Azri Ghani merupakan penjaga gol paling muda menyertai Kedah bersama Shahril Shaari sebagai penjaga gol paling senior menyertai Kedah untuk bersama Ifwat bersaing secara sihat dalam pasukan.

Pemain muda, Loqman Hakim dan Aiman Afif perlu melipat gandakan usaha untuk bersaing sengit bersama pemain senior lain dalam memburu tempat kesebelasan utama dalam pasukan. Kedua pemain muda ini mempunyai bakat yang sangat tinggi untuk membantu Kedah pada musim 2020.

Kesimpulannya, dari segi persiapan yang dilakukan Kedah nyata pasukan ini serius mahu menghadapi musim 2020 sebagai pencabar utama. Dengan senarai pemain yang mewakili Kedah serta persediaan dalam aksi pra musim, pengurusan Kedah sistematik dalam pasukan.

Kerjasama sepasukan adalah intipati utama yang diterapkan untuk musim 2020

Dari segi penyampaian permainan sepanjang pra musim, Kedah masih perlu memperbaiki banyak aspek dari segi teknikal dan taktikal. Konsistensi dalam permainan masih belum stabil. Adakala corak permainan ditampilkan sangat baik, adakala corak permainan yang ditampilkan membuat para penyokong resah.

Semoga Kedah berjaya mencatat lebih banyak kejuaraan pada musim 2020 ini dalam semua kejohanan yang disertai serta buat penyokong, terus komited dalam memberi sorakan positif buat pasukan.

Sekian.

 

Mohd Afiq Hafizuddin Bin Abd Halim

Kit Kedah FA Musim 2020

Previous article

UNITY SHIELD 2020: Perak Gah, Kedah Masih Duk Eksperimen?

Next article