KEDAH pada malam hari Ahad lalu berjaya untuk mengesahkan slot ke Perlawanan Akhir Piala FA 2019, akan bertemu pasukan Perak pada 27 Julai ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Namun kemaraan itu bukan hadir dengan mudah bila Kedah diberikan cabaran yang hebat oleh pasukan Felda United terutamanya di babak kedua dalam aksi timbal balik di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Separuh masa pertama, Kedah bermula aksi dengan bergaya, mendominasi permainan sehingga berjaya menjaringkan tambahan 2 gol lagi bagi melebarkan agregat menjadikan Kedah selesa dengan 3-0. Gol Kedah hasil jaringan penalti Fernando Rodriguez Ortega serta satu gol lagi rembatan leret deras dari Farhan Roslan yang berjaya menewaskan penjaga gol lawan, Norazlan Razali.

Bersambung babak kedua, Felda United yang kian terdesak untuk mencabar pasukan Kedah terus meningkatkan lagi intensiti permainan dengan perubahan taktikal meletakkan tonggak pertahanan import mereka, Thiago Junior Aquino sebagai penyerang dan hasilnya, Thiago berjaya untuk menjaringkan gol pertama untuk merapatkan kedudukan pada minit ke 60. Berselang 12 minit selepas itu, S Chanturu pula berjaya menyamakan kedudukan & Hadin Azman pula pada minit-minit akhir masa tambahan berjaya untuk menjadikan kedudukan makin dramatik dengan menambah gol ketiga pasukan Felda United.

Kebangkitan lewat Felda United untuk mencari gol keempat dan seterusnya melenyapkan kelebihan gol tempat lawan Hijau Kuning tidak berjaya apabila pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat perlawanan.

Kedah akhirnya berjaya untuk mara ke final walaupun tumpas 3-2, dengan keputusan agregat berakhir dengan 3-3, namun kelebihan gol di tempat lawan menjadi pemisah buat Felda United yang terpaksa berputih mata.

Satu kelegaan besar buat Kedah berjaya mengelakkan diri dari tersingkir.
Apa yang dapat dirumuskan dari perlawanan itu, juga hasil dari komen Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Ishak selepas perlawanan. ‘Kami begitu bernasib baik, Felda United berjaya memberikan tentangan yang begitu hebat buat kami. Selepas mendahului selesa pada babak pertama, rata-rata pemain kita sudah yakin untuk mara ke final, ditambah pula majoriti pemain yang ada di atas padang kita telah menerima kad kuning mereka sebelum ini. Mungkin aksi mereka yang terlalu berhati-hati untuk mengelakkan dari menerima kad kuning seterusnya yang bakal membuatkan mereka keampunan aksi di final, membuatkan rentak permainan kita berubah. Namun saya bersyukur kita dapat mempertahankan kedudukan ini. Kita harus belajar dari kesilapan ini untuk memastikan selepas ini pasukan kita lebih berjaya lagi.’
Syukur Alhamdulillah kita kini telah mara ke Perlawanan Akhir Piala FA.

Dengan tempoh masa yang ada kini. Semoga pasukan Kedah kita akan terus diperkemaskan lagi. Menentang pasukan Perak, satu pasukan yang begitu baik, seharusnya kita kini sentiasa dalam keadaan untuk bersedia bagi impian menjadi juara dan mara ke kejohanan AFC menjadi realiti.

Ayuhlah semua penyokong Hijau Kuning sejati, kita banjiri Stadium Nasional Bukit Jalil nanti dengan warna keramat hijaukuning kita. Gena sokongan padu kita pasti akan menjadi tonik terbaik bagi menyemarakkan palawan kita diatas padang.
Debaran kian dirasai.

Pulun Kedah Pulun!

– Muhammad Hazriq Fahimy bin Abdullah –

Beri Peluang untuk Gemilang

Previous article