Seri atau menang sahaja jalan yang terbuka buat skuad Malaysia bawah 23 tahun dalam aksi kelayakan AFC B-23 kali ini. Atas kertas, China dilihat sebagai sebuah pasukan yang cukup mantap jika hendak dibandingkan dengan Malaysia dari segi skuad.

Namun, harus diingat bahawa Malaysia pernah melakukan keajaiban pada tahun lalu dalam aksi Sukan Asia di Palembang, Indonesia apabila berjaya menewaskan gergasi Asia, Korea Selatan.

Skuad Malaysia U23

Sebelum itu, skuad b-23 tahun negara ini juga telah mencipta kejutan apabila berjaya menumpaskan UAE dalam siri perlawanan persahabatan sebelum Sukan Asia bermula. Rekod menunjukkan skuad ini mempunyai kualiti pemain yang amat baik dan menyerlah seperti Daniel Amir, Haziq Nadzli, Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Nik Akif Syahiran yang membawa pengaruh dalam corak permainan skuad negara

Dalam kempen kelayakan aksi AFC B-23 kali ini, Malaysia telah mencatat 2 kemenangan berturut-turut dalam menumpaskan Filipina dan terbaru Laos. Untuk perlawanan ketiga ini, Malaysia bakal berdepan cabaran terbesar mereka iaitu skuad China yang begitu konsisten kali ini.

Namun, dijangka Datuk Ong Kim Swee tetap mempunyai pelan rahsia yang tersendiri dalam menghadapi pasukan China. Jurulatih berpengalaman ini dilihat mampu menggalas tanggungjawab tersebut dengan baik apatah lagi beliau mempunyai pemain-pemain yang pernah bersama beliau pada musim lalu dalam saingan Sukan Asia.

Datuk Ong Kim Swee nyata ada resepi tersendiri untuk mengatasi China malam ini
foto : Khairil Ajhar / Arena Hijaukuning

Antara pemain Malaysia yang menjadi pilihan Arena Hijaukuning untuk menyerlah petang ini sudah tentu Safawi Rasid. Pemain ini mempunyai magis tersendiri dalam skuad negara serta mampu menjaringkan gol pada saat-saat genting.

Penyerang muda berbakat ini perlu diberi perhatian kerana beliau mampu merubah corak serangan serta memiliki daya sepakan tepat yang amat padu. Faisal Halim pula mungkin sesuai diletakkan sebagai ‘supersub’ kerana pemain ini dapat membantu untuk kuatkan serangan pada pada separuh masa kedua serta mampu meledak gol pada saat getir.

Aksi Safawi Rashid dalam kempen kelayakan Piala AFC u23 nyata menyakinkan ramai pihak termasuk Arena Hijaukuning
Photo : Khairil Ajhar / Arena Hijaukuning

Tumpuan utama skuad Malaysia pastinya adalah barisan pertahanan. Skuad negara bernasib baik kerana mempunyai Dominic Tan yang begitu rajin serta mempunyai kekuatan fizikal yang baik selaku pertahanan. Pemain ini wajar diberi pujian kerana berjaya melakukan tugas yang baik sepanjang 2 perlawanan ini.

Kami warga Arena Hijaukuning akan terus menyokong skuad negara dalam apa jua kejohanan serta mendoakan yang terbaik buat skuad Malaysia. Ayuh bersama kami dalam menghidupkan sokongan padu buat pasukan. Malaysia boleh!

Resipi Formasi OKS berjaya, Filipina ditewaskan

Previous article

Preview Perlawanan : Kedah VS Johor Darul Ta’zim

Next article