Artikel

Kemenangan sulung Hijau Kuning di Manjung

Perlawanan pertama Liga Super nyata menjadi langkah kanan buat Kedah apabila berjaya menumpaskan cabaran PKNP di Manjung dengan jaringan Kedah 2-0 PKNP.

Kesebelasan Utama Kedah menentang PKNP di Stadium MP Manjung
Foto oleh Khairil / Arena Hijaukuning

Pada awal perlawanan nyata Kedah tidak mempunyai masalah untuk menguasai perlawanan dan begitu disiplin pada ruang bertahan melalui sistem ‘pressing’ yang diterapkan Aidil Shahrin. PKNP tidak begitu banyak ruang yang diperoleh untuk mencari peluang gol apabila mudah dipatahkan pertahanan Kedah yang diketuai Renan Alves.

Namun, serangan Kedah juga dilihat agak terbatas untuk mencari peluang gol apabila pertahanan PKNP juga tidak kurang hebatnya menahan asakan hebat oleh pasangan serangan Kedah iaitu Fernando Rodriguez dan Jonathan Bauman. Namun kualiti yang dipamerkan oleh duo penyerang ini amat baik melalui skil gelecekan dan kelajuan mereka dalam mendapatkan gol.

Aksi pemain muda seperti Fadzrul Danel juga tidak kurang hebatnya. Pemain ini dilihat amat matang berpasangan bersama Baddrol Bakhtiar untuk mengawal ruang tengah biarpun masih lagi hijau bersama skuad utama Kedah. Tenang mengawal bola dan bijak melakukan hantaran-hantaran kepada rakan menjadikan beliau sebagai aset baharu pemain muda Kedah.

Aksi Daniel dalam perlawanan menentang PKNP
Foto oleh Khairil / Arena Hijaukuning

Permainan kedua pasukan ini dilihat agak seimbang dan terikat sehingga tamat separuh masa pertama. Baik Kedah mahupun PKNP keduanya buntu dalam mencari gol pertama pasukan.

Menjelang separuh masa kedua, Kedah tampil lebih tajam dalam melancarkan serangan. Namun PKNP begitu berdisiplin dalam organisasi pertahanan sehingga menyukarkan Kedah dalam melepasi ‘zone 14’ lawan. Berpunca dari sepakan percuma pada minit ke 66 akhirnya Shakir Hamzah berjaya memecahkan kebuntuan gol apabila berjaya mencuri peluang melepaskan gol dalam aksi kekalutan di depan pintu gol PKNP.

Kedah lebih semangat dalam memburu gol termasuk beberapa siri percubaan Fernando dan Bauman yang sering bertukar hantaran dan melakukan percubaan namun berjaya dinafikan. Pada minit ke 88 berpunca dari gerakan solo Bauman yang melepasi pertahanan PKNP melalui larian deras berjaya melakukan rembatan deras ke dalam gol untuk menewaskan penjaga gol lawan.

Filosofi Jurulatih Kedah Aidil Shaharin Mula meresapi jiwa pemain
Foto oleh Khairil / Arena Hijaukuning

Keputusan akhirnya tamat dengan Kedah berjaya memenangi perlawanan pertama di Manjung. Tugasan pertama Aidil Shahrin berjaya mengemudi skuadnya untuk meraih kemenangan pertama. Namun masih banyak yang perlu diperbaiki seperti aspek hantaran dan kreativiti dalam memburu gol. Apa yang boleh dipuji adalah aspek kecergasan dan pertahanan Kedah yang amat mantap dipersiapkan Aidil Shahrin musim ini.

Ledakan Jonathan Bauman di saat akhir perlawanan menutup peluang PKNP untuk menyamakan kedudukan
Foto oleh Khairil / Arena Hijaukuning

 

Moga kemenangan seterusnya tetap menjadi milik Kedah. Pulun Kedah Pulun!

(Mohd Afiq Hafizuddin)

Dari pemain bola sepak ke usahawan

Previous article

Derbi Kuasa Utara! Milik Kedah atau Perak?

Next article

Comments

Comments are closed.