Kedah terus mencatat keputusan hambar beraksi di tempat lawan pada musim ini dengan keputusan terbaru skuad Hijaukuning tersebut tumpas kepada skuad Johor Darul Takzim di Larkin semalam.

Dengan 6 siri layangan kad kuning dan 1 kad merah daripada pengadil sedikit sebanyak turut merencatkan permainan skuad Kedah pada aksi semalam. Nyata beraksi di kubu kuat JDT bukanlah suatu perlawanan yang mudah buat Kedah yang lebih kepada bertahan dari menyerang.

Ketiadaaan Badrol Bakhtiar dirasai di kawasan tengah Kedah

Seawal perlawanan, kedua pasukan tampak seimbang dengan melancarkan beberapa gerakan dan saling cuba mengenalpasti titik kelemahan lawan. Kedah yang menampilkan pemain terbaharu mereka David Rowley menggantikan ketiadaan Baddrol Bakhtiar apabila pemain tersebut digantung untuk perlawanan semalam.

Johor Darul Takzim yang baru menamatkan cabaran kejohanan ACL di peringkat kumpulan baru-baru ini nyata hadir dengan taktikal serta teknikal pemain yang amat baik. Pasukan ini tidak mengambil masa yang lama untuk mengawal permainan dan melancarkan beberapa serangan yang diketuai Diogo dan Cabrera. Mujur, pertahanan Kedah agak berdisiplin dan dapat mematahkan setiap gerak-gerak yang cuba dijana JDT dalam memburu gol awal perlawanan. Renan Alves dan Shakir Hamzah merupakan watak penting dalam menjaga ruang pertahanan dari terus dibolosi lawan.

Namun, Kedah akhirnya tewas apabila JDT dapat meledak gol pertama mereka pada minit ke-33 apabila Leandro Velasquez berjaya mencuri peluang melepaskan rembatan padu untuk menewaskan Ifwat Akmal. Situasi gol ini terjadi apabila terjadi sedikit kekalutan depan petak penalti dan pemain Kedah yang mengharapkan tiupan wisel dari pengadil namun tidak diberikan.

Nyata import JDT itu tidak melepaskan peluang kelalaian skuad Kedah untuk mencetak nama selaku penjaring pertama perlawanan. Kedah yang tersentak, cuba bangkit namun disiplin JDT yang sentiasa cepat menutup ruang dan idea serangan Kedah yang dapat dibaca lawan menyebabkan tiada langsung gerak-gerak berbahaya dapat dihasilkan skuad kendalian Aidil Sharin ini.

Menjelang separuh masa kedua, JDT terus meningkatkan intensiti perlawanan dengan mengamalkan serangan pantas dan teknik hantaran yang amat baik untuk menguasai perlawanan. Mereka mempunyai skuad yang rata-rata pemain memiliki keupayaan individu yang baik dan persefahaman yang baik. Kedah pula, cuba mengimbangi kepantasan JDT dengan memasukkan Fayadh dan Azamuddin namun tetap gagal dan terus diasak bertubi-tubi oleh lawan.

Malang terus menimpa skuad Kedah apabila Rizal Ghazali dilayangkan kad kuning kedua peribadi dan sekaligus mengutip kad merah. Ketiadaan pertahanan kanan tersebut memaksa Aidil Sharin mengeluarkan Zaquan Adha bagi digantikan oleh Norfiqrie yang menampung kekosongan Rizal Ghazali selaku pertahanan kanan.

Rizal tidak dapat bermain selepas kutipan kad merah di Larkin

Beraksi dengan 10 pemain di tempat lawan serta pasukan tuan rumah yang memiliki kelebihan skuad yang lebih baik terus menyukarkan skuad Kedah untuk merencana sebarang gerakan selain hanya menunggu peluang serangan balas. Kedah juga mencatat statistik tiada langsung percubaan tepat dan gerakan menuju gol sepanjang perlawanan berlangsung.

Safawi Rasid terus memadam impian Kedah apabila jaringan beliau pada minit ke-87 berjaya menewaskan Ifwat Akmal sekali lagi untuk terus meninggalkan jurang gol. Sorakan padu dari penyokong tuan rumah yang hadir lebih kurang 10,000 orang terus meningkatkan motivasi lawan untuk mengekalkan disiplin serangan.

Cemerlang di benteng terakhir namun tewas dengan dua gol di Larkin

Keputusan kekal tamat dengan JDT 2-0 Kedah di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin. Kedah yang berkongsi mata bersama 2 lagi pasukan iaitu Melaka United dan Selangor kekal di tempat ketiga dengan perbezaan jumlah gol. Mereka juga ketinggalan sebanyak 17 mata dengan pendahulu liga, JDT menyaksikan skuad Hijaukuning ini dilihat mustahil untuk memberi cabaran selaku juara Liga Super.

Selepas ini, Kedah akan menentang pasukan Pahang di Stadium Darulaman selepas cuti Hari Raya Aidilfitri. Diharap, skuad ini dapat menambah baik segenap posisi yang lemah dan terpaksa beraksi tanpa 3 tonggak yang digantung perlawanan iaitu Azmeer, Rizal, dan Bauman.

Bauman tidak akan beraksi menentang Pahang akibat kad kuning ketiga beliau di Larkin

Semoga Kedah kembali mempamerkan kebangkitan pada aksi seterusnya untuk sekurangnya menjadi antara 3 pasukan terbaik Liga Super. Jadikan kekalahan ini sebagai pengajaran agar dapat kembali sebagai sebuah pasukan yang lebih mantap!

Ameen.

Kedah Kekal Kebal di Darulaman!!

Previous article

Kedah, PKNS kembali bertarung

Next article