Walaupun menguasai sebahagian besar permainan semalam, nyata Kedah terpaksa berhempas pulas dalam mencari gol penyamaan dan gol kemenangan setelah ketinggalan kepada Melaka United pada separuh masa pertama. Keputusan ini nyata melonjakkan kembali Kedah kepada kedudukan tempat ketiga Liga Super setelah Selangor terikat seri bersama PKNP.

Pada perlawanan ini terdapat sedikit perubahan pemain yang diletakkan Aidil Sharin pada kesebelasan utama. 2 pemain muda meningkat naik, Fadzrul Danel dan Mohamad Fayadh menjadi pilihan utama pada perlawanan ini. Renan Alves juga kembali mendapatkan posisi utama beliau sebagai pertahanan tengah setelah digantung satu perlawanan sebelum ini.

 

Kehadiran Fayad juga memberi impak pada persembahan pasukan semalam
khairil ajhar/arenahijaukuning

Pada awal perlawanan, Kedah terlebih dahulu melancarkan beberapa siri serangan dan menguasai segenap posisi untuk mencari gol awal. Namun, benteng Melaka United dilihat amat berdisiplin dan ampuh dalam menyerap asakan Kedah. Sesekali mereka juga mempunyai peluang melakukan serangan balas melalui kepantasan yang ada pada Patrick Reichelt dan Nazrin Nawi dalam menggerakkan serangan. Namun, Kedah juga bukanlah satu pasukan yang mudah ditembusi apabila Renan dan Shakir amat berdisiplin dan mempunyai persefahaman yang tinggi dalam menahan asakan balas lawan.

Ketika tumpuan lebih terarah kepada Kedah yang mengatur serangan, Melaka hampir tampil dengan kejutan awal melakar gol pertama mereka pada minit ke-13 apabila Luka Milunovic sempat menguis sedikit hasil sepakan percuma yang dilambung tepat ke dalam petak gol.

Tersentak dengan percubaan tersebut, Kedah kembali melancarkan beberapa gerakan melalui Jonatan Bauman namun seringkali dapat ditewaskan pertahanan Melaka United yang diketuai Shukor Adan bersama Jang Suk Won. Masalah Kedah ialah ketika mengatur serangan dan sering mudah dibaca gerakan pasukan oleh pertahanan Melaka. Mobiliti Bauman, Fayadh, dan Farhan Roslan digunakan sehabis mungkin dalam menjana serangan.

Gerakan Bauman banyak mengkucar kacirkan pertahanan Melaka

Gol pertama Melaka United pada minit ke-31 nyata memberi kejutan buat kem Kedah apabila kali ini Milunovic menggunakan peluang depan gol sebaiknya apabila menerima umpanan sepak percuma yang diambil oleh Safiq Rahim untuk menewaskan Ifwat Akmal. Pemain import ini telah meledak 4 gol dalam 2 perlawanan membuktikan ketajamannya berbahaya sekali ketika mendapat peluang.

Sehingga menuju wisel penamat separuh masa pertama, keputusan kekal dengan Kedah 0-1 Melaka United hasil jaringan Luka Milunovic yang mendapat bantuan gol daripada Safiq Rahim. Walaupun menguasai sebahagian besar perlawanan separuh masa, Kedah gagal dalam mencipta peluang gol dan ‘final pass’ yang agak mengecewakan.

Pada separuh masa kedua, sedikit rombakan taktikal dilakukan Aidil Sharin yang meningkatkan lagi intensiti permainan dan tertumpu di pada bahagian ‘flanker’ dalam menggerakan serangan. Nyata ini membuahkan hasil apabila gerakan Bauman dari bahagian kiri Kedah yang berjaya menewaskan pertahanan Melaka United untuk melakukan satu hantaran lintang tepat kepada Baddrol Bakhtiar yang menanduk terus bola ke dalam gawang gol pada minit ke-59.


Nyata gol ini membuka semangat baharu buat kem Kedah untuk terus meningkatkan asakan demi asakan. Melaka pada separuh masa kedua dilihat tidak mampu lagi menyaingi permainan pantas Kedah dan lebih bertumpu pada pertahanan untuk sekurangnya mencuri satu mata. Farhan Roslan nyata menjadi masalah besar buat pertahanan Melaka United apabila pemain ini seringkali berjaya menyusup masuk dan mengelirukan lawan melalui gelecekan pantas beliau.

Seperti diduga, pada minit ke-71 Farhan Roslan mendapat peluang yang baik pada ruang kanan Melaka united dan berjaya memperdayakan Razman Roslan sebelum melakukan hantaran silang yang secara tidak sengaja ditampan oleh pertahanan mereka sendiri, Jang Suk Won yang meledak gol sendiri perlawanan.

Gol kedua Kedah ini amat menarik apabila anda dapat melihat bagaimana Zaquan Adha berjaya menekan Jang Suk Won dalam mendapatkan gol untuk membiarkan import itu tersepit dan tidak sengaja menampan gol ke gawang sendiri. Keputusan kekal di Stadium Darulaman dengan memihak kepada Kedah yang menewaskan Melaka United dengan keputusan Kedah 2-1 Melaka United.

Nyata kubu utama Kedah masih kebal dari sebarang kekalahan dan mata terbesar Kedah setakat ini banyak dicatat melalui permainan di laman sendiri. Walaupun kehadiran penyokong hanya sekitar 5000 orang, sokongan padu tetap diberikan melalui paluan gendang yang dibunyikan sepanjang 90 minit perlawanan. Nyanyian kelab penyokong UK09 juga yang setia menyokong pasukan juga wajar dipuji untuk meniup semangat pasukan.

Pemain tumpuan pada perlawanan ini ialah Baddrol Bakhtiar yang menunjukkan corak permainan yang amat baik serta kerajinan beliau untuk membantu pertahanan dan serangan serta mendapatkan gol pertama perlawanan nyata wajar dipuji. Tandukan gol beliau dilihat menjadi titik kebangkitan skuad melalui gerakan-gerakan yang lebih tersusun dalam mencari gol kemenangan. Tahniah Baddrol Bakhtiar!

Gol Baddrol menjadi turning point permainan Kedah di separuh masa kedua

Perlawanan selepas ini Kedah akan menentang JDT FC di tempat lawan. Segala persiapan rapi wajar dilakukan untuk mencari kemenangan di sana. Baik dari segi mental, fizikal dan juga taktikal dalam menghadapi juara bertahan Liga Super tersebut. Diharap keputusan yang baik mampu diraih skuad Kedah. InsyaAllah.

Terima kasih

-Mohd Afiq Hafizuddin-

Barangan Liverpool FC tiba di Kedah

Previous article

Kedah Luka di Larkin

Next article