Pusingan pertama suku akhir Shopee Piala FA 2019 kembali membuka tirai semalam dengan beberapa perlawanan terlibat di venue yang berbeza. Di Shah Alam, mempertemukan PKNS selaku tuan rumah dan Kedah selaku pelawat.

Kedah berjaya menggunakan kesempatan selaku pelawat untuk memperoleh kemenangan dan paling penting ialah jaringan tempat lawan pada perlawanan semalam. Walaupun beraksi di gelanggang lawan, nyata penyokong Kedah dilihat lebih menguasai sorakan di stadium Shah Alam semalam berbanding penyokong PKNS.

Bauman diasak oleh pertahanan PKNS

Pada awal perlawanan, kedua-dua pasukan saling bertukar arah serangan dan saling cuba untuk menguasai ruang tengah dengan lebih awal. Trio tengah PKNS iaitu Morales, Guerra, dan Akram Mahinan nyata msmpunyai mobiliti yang baik dan mempunyai rencana yang baik dalam mengatur serangan. Namun, Kedah dilihat begitu berdisiplin dalam bertahan dan berjaya membentuk unit pertahanan dengan amat baik.

Gerakan Vathanaka, Kpah Sherman, dan Faizat Ghazli nyata mudah dipatahkan oleh 4 pertahanan Kedah yang amat konsisten mengawal kubu pertahanan selain ketangkasan Ifwat Akmal yang tidak begitu diuji pada separuh masa pertama.

Farhan Roslan beraksi cemerlang sebelum diasak teruk oleh pertahanan PKNSJonatan Bauman, Farhan Roslan, dan Zaquan nyata begitu banyak terlibat dalam serangan Kedah untuk membuka ruang dan kelajuan mereka digunakan sebaiknya untuk memerangkap pertahanan lawan. Hasil satu hantaran kedalam petak penalti oleh Farhan Roslan berjaya digunakan sebaiknya oleh Rodriguez untuk terus melepaskan rembatan ke dalam gawang gol menewaskan Zharif Irfan pada minit ke 12.

Terkejut dengan gol awal Kedah, nyata PKNS cuba bangkit dengan kembali menyusun gerakan demi gerakan yang diketuai oleh Morales. Namun, Kedah bukan suatu pasukan yang mudah dipatahkan pertahanannya serta cemerlang untuk mengekalkan disiplin bertahan mereka selain perlahan-lahan mengatur serangan.

Pada minit ke 25, Kedah sekali berjaya memperoleh gol melalui sepakan penalti yang disudahkan oleh Jonatan Bauman setelah beliau dijatuhkan dalam petak penalti oleh pertahanan lawan, Rodney Calvin.

Bauman meraikan gol nya

Nasib malang terus menimpa PKNS FC apabila pertahanan import mereka, Tamirlan Kozubaev dilayangkan kad merah pada minit ke 30 setelah melakukan terjahan keras di rusuk kiri Farhan Roslan yang memaksa pemain itu turut dikeluarkan akibat kecederaan.

Peluang beraksi dengan kelebihan 1 pemain berjaya digunakan oleh Kedah dengan sebaiknya apabila terus memperoleh gol ketiga hasil hantaran lintang tepat dari kanan kepada Bauman untuk melepaskan rembatan terus ke dalam gol pada minit ke 45. Kedudukan kekal sehingga wisel separuh masa pertama ditiupkan dengan keputusan Kedah 3-0 PKNS.

Pada separuh masa kedua, awal permainan nyata menjadi milik Kedah dengan menguasai ruang tengah serta hantaran sesama sendiri yang tepat. Kedah dilihat cuba menurunkan rentak permainan pantas mereka dengan lebih banyak melakukan hantaran di kawasan sendiri serta hanya sesekali cuba melakukan serangan.

Rodriguez turut mencetak nama sebagai penjaring gol semalam

Peluang itu digunakan oleh PKNS untuk meningkatkan sedikit rentak serangan mereka serta berjaya menekan gerakan Kedah untuk melakukan kesilapan. Walaupun beraksi dengan 10 pemain, nyata PKNS tidak menganggap itu sebagai kelemahan dan berjaya memberi cabaran besar buat Kedah dalam mengekalkan tempo permainan dan menguasai bola.

Hasilnya pada minit ke 64, PKNS berjaya mendapatkan 1 gol setelah gerakan pantas yang dilakukan oleh Romel Morales yang menolak bola tepat kepada Guerra mudah disudahkan untuk menewaskan Ifwat Akmal serta menghukum pertahanan yang sedikit leka.

Tidak banyak dapat diperkatakan pada separuh masa kedua ini apabila Kedah tidak banyak terlibat dalam serangan selain satu rembatan volley menarik yang dilakukan oleh Baddrol Bakhtiar namun mudah diselamatkan Zharif Irfan.

Kemasukkan Thanabalan, Alif Yusof, dan Fadzrul tidak banyak mengubah rentak permainan Kedah. Malahan, PKNS lebih banyak mengatur serangan demi serangan. Mujur, pertahanan Kedah kental bertahan dan disiplin yang tinggi diterapkan sepanjang 90 minit beraksi.

Tamat permainan, Kedah 3-1 PKNS di Stadium Shah Alam. Suku akhir kedua akan berlangsung pula di Stadium Darulaman. Aidil Sharin wajar berpuas hati dengan kemenangan anak buahnya selepas prestasi hambar dipamerkan beberapa hari lalu menentang Selangor di laman sendiri. Sorakan demi sorakan oleh para penyokong Hijaukuning juga wajar diberi pujian apabila mereka tidak putus memberi sokongan padu buat pasukan sehingga menyumbang kepada motivasi yang baik buat para pemain.

Kami warga Arena Hijaukuning berharap para penyokong dapat terus bersama pasukan dan menjalankan tugas selaku pemain ke 12 dalam memberi sorakan buat pasukan Kedah yang disayangi.

Pulun Kedah Pulun!

-Mohd Afiq Hafizuddin-

-Khairil Ajhar Jaafar-

Analisa Perlawanan – Kedah 1-1 Selangor

Previous article

IFEDAYO PEMUSNAH HARAPAN !

Next article