Setelah melayakkan diri ke pusingan separuh akhir Shopee Piala FA 2019, Kedah gagal meneruskan rentak terbaik mereka tewas mengejut di tangan pasukan Selangor. Stadium Shah Alam nyata menjadi saksi tumbangnya skuad hijaukuning di persada lawan.

Kedah yang mengekalkan skuad sama seperti perlawanan menentang PKNS nyata gagal memberi saingan terbaik pada separuh masa pertama. Selangor nyata berbeza kali ini dari segi permainan yang lebih tajam dan mobiliti setiap pemain yang amat baik. Sandro Da Silva ternyata merupakan pemain tengah serangan yang amat berbahaya buat pasukan. Gerakan-gerakan dan hantaran beliau amat tajam dan bijak mencari penyerang.

Anda boleh saksikan separuh masa pertama semalam nyata Kedah gagal ‘settle down’ dan membiarkan Selangor terus memberi tekanan buat pasukan dan menguasai segenap posisi. Gol pertama Selangor menerusi penyerang baharu mereka, Ifedayo terhasil melalui kesilapan pemain Kedah yang lebih bertindak selaku ‘ball watching’ dan keputusan Ifwat yang sedikit teragak-agak untuk keluar dari posisinya atau tidak.

Gol kedua Selangor pula sepatutnya tidak memberi masalah buat Kedah apabila Ifwat hanya perlu sekadar menangkap hantaran lambung Syahmi Safari yang menuju ke petak penalti. Kesilapan Ifwat adalah beliau gagal menangkap bola dan membiarkan ia terlepas dan mudah disambar Ifedayo yang turut tidak dikawal sesiapa. Kesilapan tidak disengajakan ini menjadi motif utama motivasi Kedah semakin menurun pada separuh masa pertama. Jelas kekecewaan yang dipancarkan oleh Ifwat Akmal.

Berhadapan Selangor, nyata pertahanan Kedah begitu sibuk bertahan dan sesekali sahaja mereka melancarkan serangan balas melalui gerakan Bauman dan Farhan Roslan, namun mudah dipatahkan oleh Michal Nguyen serta Taylor Reagan.

Barisan tengah Selangor juga dilihat menjadi sebab mengapa Kedah gagal mendapatkan rentak yang baik menyusun rencana serangan. Gandingan Halim Shaari dan Sarkunan nyata amat kukuh dan tenang mengawal tempo permainan serta memudahkan tugas Sandro untuk terus memberi tumpuan menjana serangan.

Tumpuan Kedah cuba terarah kepada Zaquan Adha dan Farhan Roslan dalam mengembangkan penguasaan dari tepi, namun mereka sendiri dilihat gagal mencari punca untuk menyerang dan lebih mengharapkan Bauman dalam mencipta idea.

Baddrol Bakhtiar dan Amirul Hisyam pada pengamatan gagal menyaingi ruang tengah lawan yang mudah dieksploitasi Sarkunan dan Halim Shaari untuk menutup penguasaan Kedah. Gandingan tengah Kedah itu dilihat terlalu turun ke bawah dan gagal memberi bantuan yang baik ketika Kedah melancarkan serangan.

Menjelang separuh masa kedua, Kedah cuba meningkatkan intensiti permainan dan cuba melancarkan beberapa siri serangan namun gagal diterjemahkan dalam bentuk gol apabila setiap ‘final pass’ sering mengecewakan. Fernando Rodriguez boleh dikatakan terputus hubungan dengan pemain tengah Kedah dalam menerima umpanan yang lebih baik dan gagal mencipta sebarang peluang.

Ketika rancak menekan Selangor, pasukan Kedah nyata terlupa untuk turut meningkatkan disiplin pertahanan. Serangan balas mengejut yang dilancarkan oleh pasukan The Red Giants nyata berjaya diterjemahkan dalam bentuk gol. Ifedayo pada perlawanan pertama bersama Selangor boleh dianggap cemerlang apabila meledak hatrik pertama beliau.

Kombinasi gerakan balas yang dijana Sandro, Prabakaran dan Ifedayo mudah menewaskan seorang pertahanan Kedah serta Ifwat Akmal untuk meletakkan pasukan tersebut dengan tiga jaringan tanpa balas. Nyata amat sakit untuk Kedah apabila ketika mereka kembali mendapat rentak permainan dan cuba mencari gol untuk merapatkan defisit, sedikit kesilapan sahaja terus menjauhkan lagi jarak antara Selangor dan Kedah.

Pada minit ke 60, Aidil Sharin membuat pertukaran dengan memasukkan duo pemain muda Kedah iaitu Fadzrul Danel dan Mohamad Fayadh bagi menggantikan Zaquan Adha serta Amirul Hisyam yang kurang efektif. Nyata kemasukan 2 pemain ini memberi nafas baharu dalam serangan skuad hijaukuning ini.

Aksi mencuri tumpuan yang diberikan Fayadh dan Fadzrul Danel boleh dikatakan amat menarik dalam rencana serangan dan mempamerkan sisi matang bersama pasukan. Gerakan-gerakan lincah Fayadh dari tepi berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan lawan dan fizikalnya yang kecil menjadi aset untuk melepasi lawan. Fadzrul Danel pula dilihat lebih aktif sebagai perancang dan amat tenang mengawal permainan bersama pasukan.

Selangor dilihat lebih banyak mengendurkan asakan dan lebih banyak bertahan dari menyerang. Gol pertama Kedah akhirnya terhasil pada minit ke-60 apabila Bauman berjaya mengambil peluang menanduk gol hasil sepakan sudut. Ini sedikit sebanyak menambah keyakinan buat pasukan dalam terus menghidupkan peluang mencari mata pada perlawanan tersebut.

Malangnya, keputusan kekal tamat perlawanan dengan keputusan Selangor 3-1 Kedah. Walaupun Kedah cuba mencipta kebangkitan pada akhir-akhir perlawanan, nyata pertahanan Selangor amat berdisiplin dan mereka bermain dalam satu organisasi yang baik untuk tidak memberikan peluang yang mudab buat Kedah dalam menyerang.

Apa yang diperlukan Kedah setakat ini ialah seorang perancang di tengah yang mampu mengawal tempo permainan Kedah dan kreatif dalam mencipta serangan. Samaada tempatan atau import, Kedah amat kritikal dalam memerlukan seorang pemain pada posisi tersebut. Agak berisiko untuk terus membiarkan Bauman melakukan dua tugasan pada setiap perlawanan yang bakal mengundang kecederaan buat beliau.

Ketiadaan Renan Alves agak dirasai apabila pemain ini amat diperlukan dalam perebutan bola udara dan menjadi penenang di bahagian pertahanan. Gandingan Shakir Hamzah dan Khairul Helmi Johari tidaklah terlalu teruk, cuma kombinasi antara dua pemain ini masih memerlukan banyak masa lagi untuk dibentuk.

Buat Ifwat Akmal, beliau perlu bangkit semula dan terus fokus pada perlawanan akan datang. Kesilapan sentiasa berlaku dalam bolasepak. Cuma terpulang kepada anda untuk mengatasi kesilapan itu bagaimana. Mungkin penggunaan Ifwat secara berterusan tidak terlalu baik buat beliau. Pada perlawanan akan datang Hadi mungkin diperlukan dan membiarkan Ifwat kembali memperbaiki mutu permainan dan motivasi beliau.

Buat para penyokong, inilah bolasepak. Adakala kita menang, adakala kita kalah. Apa yang diperlukan pasukan ketika ini adalah suara anda dalam memberi sokongan. Kita masih ada peluang untuk mendakap satu piala musim ini iaitu Piala FA. Sokongan anda amat diperlukan.

Semoga Kedah kembali hadir dengan lebih kuat pada perlawanan akan datang!

InsyaAllah.

(Mohd Afiq Hafizuddin)

Ke Separuh Akhirkah Kita?

Previous article

Barangan Liverpool FC tiba di Kedah

Next article