3 kemenangan dan 1 seri cukup untuk Kedah terus konsisten berada di persada Liga Super setakat ini dengan mengutip 10 mata setakat ini. Walaupun lawan sepert JDT, Pahang dan Melaka masih kurang 1 perlawanan, sekurangnya Kedah terus memimpin carta liga sehingga malam ini.

Pada aksi semalam, Kedah terus konsisten mencatat kemenangan dengan menjadikan PJ City sebagai mangsa seterusnya di Stadium MBPJ. 2 jaringan tanpa balas cukup mengesahkan Kedah untuk mengutip 3 mata penuh di tempat lawan.

Gol pertama terhasil pada minit ke 7 apabila hantaran lintang Baddrol Bakhtiar dari kanan tepat singgah mengenai kepala Syahrul Azwari yang tidak dihalang lawan dalam petak penalti untuk menewaskan penjaga gol lawan, Muhaimin. Gol kedua yang dianggap sebagai gol cantik dan organisasi serangan yang mantap pula terhasil pada minit ke 40 apabila serangan balas pantas yang digerakkan oleh Fadzrul Danel, Zaquan Adha, Bauman, dan Fernando berjaya menumpaskan pertahanan yang tidak sempat untuk turun semula ketika asyik menyerang kubu Kedah. Gol dijaringkan oleh Fernando Rodriguez yang juga merupakan gol sulung beliau buat Kedah sepanjang 4 perlawanan liga ini.

 

Fernando akhirnya menjaringkan gol sulungnya untuk Kedah
(gambar arkib Arena HijauKuning)

Tiada gol yang terhasil sepanjang separuh masa kedua biarpun Kedah dan PJ City masing-masing mempunyai peluang yang baik dalam memburu gol. Keputusan kekal memihak Hijaukuning dengan keputusan Kedah 2-0 PJ City.

Secara keseluruhan, Kedah beraksi dengan amat teratur dan berdisiplin ketika bertahan. Renan Alves dan Shakir seperti biasa tidak mempunyai masalah menjaga kawasan mereka dari ditembusi sewenang-wenangnya. Ifwat Akmal selaku penjaga gol utama Kedah juga semakin yakin dalam mengawal benteng terakhir dan konsistensi beliau membawa kepada 3 ‘cleansheets’ setakat ini sepanjang 4 perlawanan. Rizal Ghazali merupakan pemain yang efektif dan paling banyak membantu serangan selain menggunakan kebijaksanaan menghentikan serangan lawan. Alif Yusof pula dilihat pada perlawanan kali ini agak lemah dalam melakukan ‘intercept’ serta mudah dicerobohi kawasan beliau mujurlah Shakir Hamzah dan Syahrul Azwari banyak membantu beliau dari dicerobohi lawan. Sesuatu perlu dilakukan beliau dalam latihan untuk terus melayakkan diri beliau selaku pemain utama.

Kawasan tengah Kedah dilihat gandingan Baddrol dan Fadzrul semakin tenang dan semakin serasi. Baddrol Bakhtiar seperti biasa menggunakan kepakaran beliau dalam melakukan hantaran-hantaran jauh yang amat berkesan. Beliau merupakan arkitek Kedah semalam dalam menjana serangan. Fadzrul Danel juga merupakan pemain yang wajar dipuji semalam. Permainan matang yang dipamerkan serta begitu rajin turun naik untuk membantu serangan dan pertahanan membuatkan beliau wajar dipuji dalam aspek teknikal terutama sekali dalam isu stamina yang amat baik.

Baddrol dan Zaquan antara menjadi nadi di bahagian tengah pasukan Kedah (Gambar arkib Arena HijauKuning)

Syahrul Azwari dan Zaquan Adha juga membuktikan pengalaman mereka digunakan sebaiknya dalam membantu serangan dan amat tenang dalam melakukan hantaran ke dalam petak gol. Syahrul Azwari wajar dipuji atas kepantasan beliau dalam membuat larian deras dan bijak menekan pertahanan. Walaupun kadangkala beliau dilihat agak tenggelam. Zaquan Adha pula seperti biasa kekal konsisten dan begitu yakin mengawal bola serta amat lasak berhadapan pertahanan lawan.

Gandingan Bauman dan Fernando sekali lagi umpama duri dalam daging buat lawan apabila gerakan-gerakan mereka amat berbahaya serta kerajinan mereka dalam mengutip bola dan menyusun serangan. Kami agak suka corak permainan Bauman yang begitu baik dalam membentuk serangan dan ‘quick thinking’ dalam melakukan sesuatu. ‘Assist’ beliau semalam keatas gol Fernando merupakan sesuatu yang amat berkualiti. Fernando juga dilihat sudah mulai menemui sentuhan gol biarpun mempunyai lebih banyak peluang meledak semalam.

Harmoni dan Disiplin antara yang diterapkan dalam falsafah Coach Aidil

 

Secara rumusannya, permainan Kedah bukanlah sesuatu permainan yang amat menghiburkan. Namun, disiplin dan organisasi pemain dalam padang amat mengujakan. Mereka bergerak dalam satu unit dan sentiasa tidak cuba untuk melengahkan keadaan. Jurulatih Aidil Sharin nyata berjaya mewujudkan falsafah beliau yang diingini dan pastinya ada lebib banyak masa buat beliau untuk terus mengasah skuad beliau agar dapat dipertandingkan di pentas luar pula pada musim hadapan jika segalanya berjalan lancar.

 

Kami warga Arena Hijaukuning akan terus menyokong usaha pasukan Kedah dalam menaikkan kembali martabat bolasepak kita agar terus digeruni.

Pulun Kedah Pulun!

-Mohd Afiq Hafizuddin-

 

pendapat anda semua macam mana?

 

Pesta Kedah di takhta teratas …. Ikonik nombor 20 terus melangkah!

Previous article

Ubi Kedah seri di Darulaman

Next article