Hasrat Kedah untuk mencatat rekod 3 kemenangan berturut-turut lebur apabila sekadar seri tanpa jaringan ketika berhadapan PKNS di laman sendiri.

Kedua pasukan yang mempunyai rekod bolos paling sedikit dalam liga nyata mempamerkan mutu permainan yang amat berkualiti dan berdisiplin. Kedah menurunkan skuad yang sama ketika mereka membenam cabaran PJ City tampak yakin di laman sendiri menghadapi cabaran PKNS.

Kubu Kedah pada awalnya diasak oleh PKNS namun berjaya dikekang oleh Shakir dan Ifwat (Khairil Ajhar / Arena Hijaukuning)

Kedua-dua pasukan saling bertukar serangan dan intensiti permainan yang cukup tinggi dipamerkan sepanjang 45 minit pertama permainan. PKNS yang hadir tanpa kelibat penyerang sensasi mereka, Kpah Sherman dilihat tidak mempunyai begitu banyak masalah ketika menyerang. Faizat Ghazli, Morales, dan Guerra dilihat berjaya merancang beberapa gerakkan berbahaya dan hampir-hampir mengecewakan Kedah pada awal permainan. Sesekali hantaran pemain tengah mereka, Akram Mahinan amat berkesan dan beliau banyak terlibat di ‘zone 14’ membantu serangan.

 

Kedah yang menurunkan rangkaian serangan Fernando, Bauman, Zaquan, dan Syahrul Azwari dilihat semakin serasi dan berjaya menghasilkan kombinasi permainan serangan yang baik. Bauman seperti biasa menjadi pemain paling sibuk merencana serangan dan terlibat dalam beberapa percubaan jarak jauh.

Baumann dikaal rapi oleh pertahanan PKNS namun berjaya membuat beberapa percubaan merbahaya ke arah pintu gol. (Khairil Ajhar / Arena Hijaukuning)

Dalam separuh masa pertama, kita boleh melihat disiplin tinggi yang diterapkan kedua-dua pasukan dalam permainan. Mereka bergerak dalam satu organisasi yang tersusun dan masing-masing mempunyai pertahanan yang amat berkualiti ketika bertahan. Di kem Kedah, Renan Alves dan Rizal Ghazali merupakan pemain pertahanan yang paling menyerlah dalam menyelamatkan keadaan dan menutup ruang mereka.

Menjelang separuh masa kedua, Kedah meningkatkan lagi intensiti permainan mereka dalam tujuan mencari gol pertama. Beberapa siri serangan mereka yang terus menekan pertahanan lawan dilihat menemui jalan buntu apabila penjaga gol PKNS, Zarif Irfan begitu konsisten menjaga gawang gol dari dibolosi.

Kemasukan Thanabalan di separuh masa kedua nyata sedikit gagal membawa impak pada kombinasi penyerang Kedah (Khairil Ajhar / Arena Hijaukuning)

PKNS yang menyedari tidak mampu mengatasi intensiti permainan Kedah, dilihat mengendurkan serangan dan lebih memperkuatkan pertahanan mereka dari dibolosi. Separuh masa kedua dilihat lebih dikuasai oleh Kedah dalam merangkai serangan yang bertali arus ke gawang lawan. Namun ketumpulan penyudah membataskan gol yang dicari. Kemasukan Anmar juga dilihat gagal meningkatkan mutu serangan apabila PKNS begitu berdisiplin dalam pertahanan.

Aksi Fernando semalam namun dipatahkan oleh penjaga gol PKNS Zarif Irfan.

Fernando perlu lebih menggandakan usaha dan mempamerkan karakter beliau sebagai penyerang utama. Ini kerana, beliau kerap terlepas peluang yang baik dalam meledak gol. Ada 2 peluang keemasan yang sepatutnya dapat diterjemahkan dalam bentuk jaringan namun Fernando gagal menghasilkan sesuatu yang baik. Beliau mungkin baik ketika menunjukkan kerajinan membantu pemain lain mendapatkan bola dan sentiasa berada dalam posistioning yang tepat, namun penyudah beliau dilihat agak terburu-buru serta tumpul.

Tamat permainan di Darulaman dengan keputusan yang adil apabila Kedah diikat PKNS pada perlawanan kelima Liga Super 2019. Perlawanan itu juga menyaksikan beberapa kontroversi dengan kemeriahan layangan kad daripada pengadil. Kemuncaknya, apabila Renan Alves ditimpa malang setelah menerima layangan kad merah apabila beliau menghentakkan kepalanya keatas Faizat Ghazli. Keputusan itu menyebabkan Alves tidak dapat beraksi dalam 2 perlawanan.

Layangan kad merah pada Renan Alves nyata mengundang kontroversi hasil “lakonan” Faizat Ghazali

Kami di Arena Hijaukuning berharap Kedah mampu mencipta kebangkitan yang baik sekaligus menjadi antara pencabar utama kejuaraan musim 2019 ini. Diharap Aidil Sharin dapat mencari sudut kelemahan Kedah dan kembali memperkuatkan pasukannya. Buat penyokong, teruskan sokongan anda buat pasukan. Kita masih belum tewas dan merupakan pasukan yang paling sedikit rekod bolos. Sokongan anda menjadi pemangkin motivasi pasukan!

 

Pulun Kedah Pulun!

(MOHD AFIQ HAFIZUDDIN)

Ubi Kedah Beroleh Kemenangan Pertama

Previous article

Undian Shopee Piala FA 2019 – Laluan Mudah atau Sukar?

Next article