Segar dengan kejayaan menewaskan Indonesia, Malaysia tampil dengan penuh motivasi di halaman sendiri dalam membawa cabaran untuk menghadapi tentangan UAE bagi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022 Qatar di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kejutan dicipta skuad negara apabila Syafiq Ahmad berjaya meledak gol hasil tandukan cantik untuk menewaskan penjaga gol UAE pada seawal minit pertama. Gol bermula hasil gerakan bersama Sumareh yang mengumpan pertahanan lawan sebelum menolak kepada Davies yang tidak dikawal untuk melakukan hantaran lintang yang cantik kepada Syafiq untuk menanduk gol.

Gol Syafiq Ahmad menjadi jaringan terpantas di Stadium Bukit Jalil semalam dengan 33 saat selepas mula perlawanan

Tersentak dengan gol pertama, UAE cuba bangkit dengan beberapa gerakan namun mudah dipatahkan oleh pertahanan Harimau Malaya yang tampak bersedia. Tekanan demi tekanan terus diberikan oleh skuad Malaysia untuk mencari gol kedua perlawanan.

Nyata Malaysia bukanlah lawan yang sama buat UAE sewaktu 2015. Skuad kendalian Tan Cheng Hoe amat bersemangat dalam memburu gol kedua. Brendan Gan menjadi pemain yang penting untuk merangkai gerakan bersama Azam Azih dan banyak terlibat untuk menghentikan pergerakan lawan di kawasan tengah.

Matt Davies banyak mengekang asakan UAE untuk 90 minit perlawanan semalam

Dalam kerancakan menyerang, Malaysia tampak buntu untuk mendapatkan gol kedua walaupun mempunyai deretan peluang yang dicipta. Situasi ini sama sewaktu mereka menentang Indonesia. Ada satu ketika, Norshahrul Idlan Talaha mendapat peluang yang terbuka di hadapan gol, namun sepakannya tersasar jauh dari gawang lawan.

Pada ketika Malaysia asyik menyerang, sesekali UAE tampil dengan beberapa percubaan berbahaya yang hampir memakan diri skuad negara. Ali Mabkhout dilihat amat licik dan pantas dalam menghidu sebarang peluang yang terbuka.

Akhirnya pada minit ke 43, UAE kembali menyamakan kedudukan apabila Ali yang tidak mendapat kawalan baik mudah menanduk satu gol cantik untuk menewaskan Farizal Marlias. Gandingan Shahrul Saad dan Adam dilihat agak longgar untuk menyedari kehadiran Ali dan mengawal pemain tersebut. Keputusan kekal sehingga wisel penamat separuh masa dibunyikan.

Kehadiran Ali nyata mengucar kacirkan pertahanan Malaysia dengan permainan mentalnya

Menjelang separuh masa kedua, tempo permainan sederhana ditampilkan Malaysia dan UAE. Kedua pasukan ini saling berbalas serangan dan cuba menguasai segenap kawasan dengan lebih awal.

Malaysia memperoleh beberapa peluang gol sebelum dinafikan penjaga gol lawan yang tampak bersedia. UAE juga semakin selesa mengawal bola dan beberapa kali cuba menghadirkan ancaman dengan serangan pantas dan berbalas hantaran pendek.

Malaysia masih lagi konsisten dengan menggunakan Sumareh sebagai titik utama ketika menyerang sambil sesekali Syafiq Ahmad dan Safawi cuba membabitkan diri dalam situasi serangan. Matt Davies merupakan antara pemain yang sibuk dalam sepanjang permainan ini.

Beliau menjadi pemain yang rajin membantu serangan melalui hantaran-hantaran lintang, ‘extra man’, dan menjadi pemain yang pantas menutup ruang beliau dari dibocori ketika bertahan.

Aksi Percubaan Safawi yang terkena tiang semalam

Ketika Malaysia sedang dalam situasi menyerang, secara tiba-tiba peluang serangan balas terbuka buat UAE apabila Ali Mabkhout mendapat peluang hasil kesilapan Shahrul Saad yang membenarkan Ali melakukan larian deras. Hasilnya, pada minit ke-75 Ali sekali lagi mencetak nama selaku penjaring gol kedua pasukan untuk mendahului Malaysia pula.

Terdesak untuk kembali mencari gol penyamaan, Malaysia meningkatkan momentum serangan pada 10 minit terakhir. Serangan demi serangan bertali arus dilancarkan Malaysia namhn masih gagal menemui jalan gol yang dicari-cari. Kemasukan Akhyar, Partiban, dan Syamer untuk menambahkan lagi kesegaran bahagian serangan turut gagal menemui penyudah.

Disiplin bertahan UAE bersama ketangkasan penjaga gol mereka menjadi salah satu punca mereka bertahan sehingga wisel penamat dibunyikan. Keputusan kekal muktamad dengan Malaysia 1-2 UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Apa yang boleh dipuji mengenai perlawanan malam ini ialah Malaysia tampil dengan persembahan yang amat mantap. Walaupun terdapat jurang besar antara Malaysia dan UAE, namun cara skuad Malaysia beraksi seolah UAE hanyalah sebuah pasukan biasa.

Jika keputusan sebentar tadi seri, UAE wajar berasa malu kerana pasukan ini hadir dengan reputasi yang agak besar dan mempunyai barisan pemain dan jurulatih yang mantap. Malaysia pula tampil dengan jurulatih tempatan dan barisan pemain yang lebih kecil fizikal berbanding lawan. Namun skuad Harimau Malaya menggunakan aset kepantasan dengan baik sewaktu menekan pertahanan UAE ini.

Corbin Ong juga turut menjadi tulang belakang untuk pertahanan Malaysia semalam

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe telah memberikan segalanya pada perlawanan ini namun kita tewas hasil sedikit sahaja kesilapan di bahagian pertahanan. Barisan serangan dan tengah wajar dipuji dan perlu ditingkatkan lagi prestasi supaya sentuhan penyudah pada perlawanan selanjutnya dapat diatasi. Mereka mempunyai idea yang baik sewaktu merangkai taktikal serangan, namun sentuhan akhir agak mengecewakan dengan kadangkala penulis perasan sisi persefahaman masih lagi kurang.

Apapun, syabas diucapkan buat Harimau Malaya dengan persembahan yang mantap dan berjaya menghiburkan para penyokong walaupun terpaksa menelan hakikat dengan kekalahan. Sekurangnya ini menjadi pengajaran dan motivasi berguna untuk Malaysia meletakkan penanda aras setakat mana kemampuan Malaysia sekarang.

Buat para penyokong di stadium, tahniah diucapkan buat anda kerana tidak kedengaran sisi negatif yang dicipta dan sorakan padu anda wajar dipuji sepanjang permainan berlangsung. Semoga untuk perlawanan akan datang anda terus memberi sokongan yang padu buat pasukan.

Semoga skuad Malaysia terus beroleh kejayaan dalam bolasepak pada masa akan datang. Ameen.

Ayuh Harimau Malaya!

-Mohd Afiq Hafizuddin-
-foto : Khairil Ajhar Jaafar

Misi mustahil tapi Harimau Malaya Boleh!!

Previous article

Duo ‘R’ bantu Kedah menang di Manjung

Next article