Pasukan Kedah memulakan kempen kelayakan ACL 2020 dengan bergaya semalam apabila berjaya menewaskan lawan, Tai Po FC dari Hong Kong dengan kemenangan besar 5-1 di Stadium Darulaman semalam.

Hadir dengan motivasi yang tinggi setelah menjuarai Smart RSN Cup di Kemboja, Kedah berjaya meledak gol seawal minit ke-3 melalui penyerang sensasi Tchetche Kipre yang melepaskan rembatan jarak jauh untuk menewaskan penjaga gol lawan.

Aksi Kipre menjaringkan gol di separuh masa pertama

Kedah nyata menunjukkan mereka bersedia pada perlawanan ini dengan menguasai permainan untuk menekan lawan lebih banyak bertahan dari melancarkan serangan.

Gandingan Kpah Sherman, Tchetche Kipre, Hadin Azman, dan Zaquan Adha banyak menghuru-harakan pertahanan lawan dengan beberapa siri serangan pantas dan percubaan yang banyak mencemaskan pertahanan Tai Po FC.

Pada minit ke-21, Kipre sekali lagi berjaya meledak gol setelah menerima hantaran lambung ke dalam petak penalti dan mudah menewaskan penjaga gol Tai Po FC yang melakukan kesilapan untuk merebut bola. Keputusan separuh masa pertama kekal dengan Kedah 2-0 Tai Po FC. Bertambah parah, pasukan lawan terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah seorang pemain mereka dilayangkan kad merah kerana mengasari Kipre yang cuba bergerak solo untuk mencipta jaringan.

Rena Alves menjalankan tugasnya dengan baik di bahagian pertahanan

Bersambung pada separuh masa kedua, lebih 19,000 terus bersorak apabila Hadin Azman pula muncul sebagai penjaring apabila meledak gol pada minit ke-47 setelah menerima hantaran mudah dari Kpah Sherman sewaktu kekalutan hadapan pintu gol lawan.

Tidak terhenti setakat itu, serangan Kedah terus dipertajamkan lagi dan lawan hanya mampu melancarkan serangan balas sahaja sesekali terbuka peluang. Namun pertahanan dan kecekapan penjaga gol Kedah wajar dipuji kerana berjaya menidakkan usaha lawan.

Aksi Ifwat juga tidak mengecewakan dan mengekal “cleansheet” dalam perlawanan ini.

Hadin Azman sekali lagi mencuri tumpuan ramai apabila terus meledak gol kedua peribadi beliau dan gol keempat Kedah untuk terus meranapkan usaha Tai Po FC di Stadium Darulaman pada minit ke-67. Gol tersebut terhasil apabila ‘clearance’ yang dilakukan pertahanan Tai Po tepat ke kaki Hadin yang mudah sahaja melepaskan rembatan deras ke dalam gawang gol lawan.

Enggan sekadar berputih mata, Tai Po FC berjaya juga meledak 1 gol peribadi mereka pada minit ke-68 melalui Chen Man Fai yang berjaya menewaskan Ifwat Akmal. Gol terhasil setelah kelekaan pertahanan yang membuka ruang buat Tai Po FC untuk menyerang.

akasi Hadin selepas menjaringkan gol keduanya.

Disaat ramai menyangkakan keputusan kekal 4-1, Kipre hadir dengan meledak gol hatrik pertama beliau pada masa tambahan untuk terus menamatkan malam gemilang Kedah dengan jaringan 5-1 di Stadium Darulaman.

Keputusan tersebut sekaligus melayakkan Kedah ke pusingan seterusnya untuk aksi ‘playoff’ menentang kelab dari negara Korea pula 28hb Januari ini.

Semoga maju jaya buat pasukan Kedah dalam ACL 2020!

-Mohd Afiq Hafizuddin

MISI ACL TELAH TIBA! TAI PO ATAU KEDAH?

Previous article

Aksi Persahabatan : Kedah tewas di tangan City Boys

Next article