Suku akhir pertama Piala Malaysia di Manjung melibatkan pasukan PKNP dan Kedah semalam berakhir dengan kemenangan buat skuad Hijaukuning.

Dua gol Kedah terhasil melalui Fernando Rodriguez dan David Rowley berjaya menidakkan gol awal tuan rumah melalui penyerang import, Yashir Pinto. Perlawanan berlangsung rancak awal separuh masa pertama menyaksikan kedua pasukan saling berbalas serangan dan bermain secara ‘direct’.

Tuan rumah yang tampil garang di laman sendiri sesekali berjaya memecahkan organisasi pertahanan Kedah melalui pemain muda mereka, Mukhairi Ajmal yang disifatkan sangat lincah dan bijak dalam permainan.

Kedah juga sesekali tampil garang dengan beberapa siri percubaan yang berbahaya melalui Baddrol Bakhtiar dan Jonatan Bauman namun berjaya dinafikan oleh penjaga gol muda PKNP, Shafiq Afifi yang sangat cemerlang pada perlawanan ini. Ifwat Akmal juga tidak kurang cemerlang apabila berjaya menepis beberapa percubaan berbahaya lawan yang diketuai Yashir Islame Pinto dan Giancarlo Lopes.

Pintu gol Kedah akhirnya bocor pada minit ke-37 apabila Islame Pinto berjaya meledak gol cantik hasil teknik ‘Rabona’ yang dilakukan beliau. Gol berpunca dari gerakan Mukhairi Ajmal yang berjaya mengelirukan pertahanan dari sebelah kiri untuk melakukan lorongan ke dalam petak penalti. Pinto yang tidak dikawal sempat melakukan teknik ‘Rabona’ untuk meledak gol cantik sepanjang kempen Piala Malaysia 2019 berlangsung.

Tersentak dengan gol dari tuan rumah, Kedah mula menggandakan usaha dalam memburu gol namun berjaya dinafikan oleh penjaga gol lawan yang sangat susah ditembusi. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

PKNP yang membawa bekalan separuh masa pertama dengan 1 gol tidak dapat bertahan lama apabila Kedah akhirnya berjaya mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-48 melalui Fernando Rodriguez yang menerima hantaran mudah daripada Jonatan Bauman. Rembatan padu Fernando nyata mudah menewaskan Shafiq Afifi yang kebal pada separuh masa pertama sebelum itu.

Pasukan Kedah terus bersemangat dalam memburu gol dengan mencipta gerakan demi gerakan berbahaya untuk mencari jaringan. David Rowley hampir-hampir meledak gol pendahuluan Kedah melalui sepakan sudut, namun tandukan beliau sedikit tersasar dari gawang gol.

Pada minit ke-73 akhirnya Kedah berjaya mendapat gol pendahuluan yang dicari melalui pemain tengah, David Rowley untuk menewaskan Shafiq Afifi sekali lagi pada separuh masa kedua.

Gol bermula dari sepakan percuma Baddrol Bakhtiar yang mudah ditanduk David Rowley untuk menemui sentuhan gol pertama beliau sejak menyertai Kedah pada pertengahan musim ini.

Keputusan kekal 1-2 sehingga wisel penamat dibunyikan. Aksi suku akhir kedua akan berlangsung pula di Stadium Darulaman pada 29 September ini. Kedah nyata agak selesa dengan bekalan 2 gol tempat lawan yang dibawa pulang dari Manjung.

Tahniah diucapkan buat pasukan Kedah dan terima kasih buat para penyokong Kedah yang bertandang ke Manjung bagi memberi sokongan padu buat pasukan.

Semoga kemenangan suku akhir kedua menjadi milik Kedah sehingga melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Pulun Kedah Pulun!

– Mohd Afiq Hafizuddin –

 

Harimau Malaya Tewas, UAE Hampir Dimalukan

Previous article