Liga bola sepak kita sentiasa dimeriahkan dengan kehadiran import saban tahun yang menjadi antara tunjang untuk menguatkan pasukan masing-masing.

Import yang mewakili pasukan selalunya akan menjadi antara punca penarik utama untuk penyokong hadir dan menonton bola sepak.

Misalnya di Kedah, impak besar yang dipamerkan Marlon Alex James bersama Nelson Sam Martin dan Bernard Huggins suatu ketika dulu cukup berpengaruh dalam menguatkan pasukan dan menarik ribuan penyokong hadir.

Marlon meninggalkan legasi atau kenangan cukup bermakna dalam sanubari penyokong Kedah khususnya

Pada generasi baharu ini pula, Liridon Krasniqi dan Sandro Da Silva berjaya meninggalkan impak yang amat besar dalam bola sepak Kedah sehingga menjadi kunci kekuatan utama skuad Hijaukuning sewaktu era Tan Cheng Hoe.

Kelantan misalnya mempunyai Ghaddar yang disayangi penyokong kerana impak gol diciptanya serta Pereyra Diaz yang amat digeruni lawan kerana kelicikan pemain ini dalam menyerang.

Pemain import yang berkualiti akan menjadikan pasukan lebih mantap dalam taktikal dan dapat menjadi contoh buat pemain lain dalam terapan teknikal dan taktikal.

Liridon dan Sandro antara import berkualiti yang pernah Kedah miliki

Situasinya akan berbeza jika import yang mewakili sesuatu pasukan gagal meninggalkan impak yang bagus serta tiada beza dengan pemain tempatan yang lain.

Lagi memburukkan keadaan, jika taraf import yang mewakili pasukan tersebut lebih teruk aksinya berbanding pemain tempatan dan mempunyai sejarah kecederaan panjang yang membantutkan pasukan.

Persoalannya, jika pemain import tersebut gagal mengadaptasi dalam pasukan dan liga yang diwakili dimana silapnya berlaku?

Chayenne Santos juga bersama Kedah dalam masa yang singkat suatu masa dahulu

Adakah masalah ‘scout’ yang gagal memahami keperluan pasukan? Atau masalah jurulatih yang gagal menggunakan import tersebut se’optimum’ yang boleh?

Adakah ‘scout’ yang tiada kemahiran dan hanya mementingkan keuntungan sahaja atau masalah ‘scout’ yang tiada kerjasama baik bersama jurulatih dalam mendapatkan import? Atau mungkin juga disebabkan had bajet yang diberikan?

Jika isu bajet menjadi punca kesukaran mendapatkan import yang bermutu, mengapa tidak digunakan sahaja kaedah ‘trial’? Walaupun pemain yang datang ‘trial’ kebanyakan tidak begitu berkualiti dan menjadi buangan pasukan lama, sekurangnya jurulatih dan pengurusan boleh membuka mata dan melihat sendiri secara depan aksi pemain ‘trial’ sewaktu pemilihan.

Pablo Palares juga antara import yang gagal menyengat ketika bersama Kedah dahulu

Kaedah ini dilihat sangat efektif dalam mengehadkan bajet pasukan dan sangat membantu untuk jurulatih diberi ruang memilih pemain yang ada.

Jika pemain itu tiada nama besar dan rekod yang baik sebelum ini tetapi sewaktu ‘trial’ dan perlawanan ujian si pemain berjaya mempamerkan karakter yang bagus serta kena dengan kehendak jurulatih dalam taktikal pasukan kenapa tidak sahaja diberi peluang?

Antara pemain ‘trial’ yang berbaloi dipilih Kedah pastinya seperti Liridon Krasniqi dan Safi Abdelfatah. Pemain ini tidak mempunyai rekod yang elok sebelum ini dan berjaya membuktikan sesuatu ketika trial dan diikat pasukan Kedah walaupun pada mulanya dikhabarkan Kedah tidak ingin mendapatkan khidmatnya.

Safi Al Fatah antara import yang menyinar namun tidak disambung atas faktor faktor yang tidak jelas

Berbalik kepada ‘scouting’, cara ini paling relevan dalam bola sepak yang moden ini. Ejen pemain boleh menyediakan pemain yang bersesuaian dengan keperluan pasukan dan boleh mendapatkan nama-nama yang besar untuk pasukan jika ‘deal’ yang dilakukan menjadi.

Lebih menguntungkan jika pihak kejurulatihan sendiri yang melakukan ‘scouting’ pemain yang dikehendaki. Atau paling tidak, pihak pasukan melantik pasukan khas untuk melakukan ‘scouting’ pemain yang bersesuaian dengan pasukan.

Itu semua boleh dilakukan dengan baik dan secara sistematik jika pasukan mempunyai dana kewangan yang kukuh dan pengurusan yang memahami kehendak kejurulatihan dalam mendapatkan rangkaian pemain import yang berkualiti.

Masalah akan terjadi bila ‘scouting’ tidak tepat dilakukan atau terlalu percayakan ejen sahaja dalam pengambilan import. Contohnya pemain seperti Carlos Kahe, Chayene Dos Santos, Daniel Baroni dan Pablo Pallares yang hanya menjadi penumpang dalam pasukan tanpa memberi sebarang impak kerana kualiti dan masalah adaptasi dalam taktikal pasukan.

Carlos Kahe juga salah seorang pemain yang gagal dalam pasukan Kedah dahulu

Jika sesebuah pasukan mempunyai masalah kewangan namun tetap ingin mendapatkan import untuk tetap bersaing, seeloknya tidak salah untuk menggunakan sahaja proses ‘trial’.

Pasukan Kelantan antara pasukan musim ini yang menggunakan sistem ‘trial’ dan berjaya mendapatkan import serangan yang bersesuaian dengan kehendak jurulatih dan ideal dengan taktikal pasukan.

Kedah antara pasukan yang menggunakan khidmat ‘scouting’ apabila pasukan ini telah mendapatkan Amin Nazari tanpa sebarang ujian ‘trial’. Tidak pasti melalui ejen atau kejurulatihan ‘scout’ sendiri pemain kerakyatan Filipina ini.

Amin Nazari

Malangnya impak yang ditinggalkan Amin setakat ini masih gagal untuk pasukan hingga 3 perlawanan beliau bermula sebagai pemain simpanan. Rekod Amin sebelum ini juga tidak begitu gah untuk dibawa masuk dalam skuad Kedah.

Kesimpulannya, kita mempunyai pilihan masing-masing dalam mendapatkan khidmat pemain import. Samaada ‘trial’ atau ‘scout’ keduanya merupakan cara untuk mendapatkan pemain yang diinginkan.

Namun seeloknya mulakan ‘scout’ dan ‘trial’ dengan menilai rekod lampau dahulu dan melihat beberapa perlawanan calon pemain import sebelum dipanggil ‘trial’ atau terus ditandatangani samaada sesuai dengan pasukan atau tidak.

Janganlah kerana memikirkan kantung masing-masing, pasukan merana dalam perlawanan dan penyokong menjadi insan tersakiti melihat aksi import yang tidak memberangsangkan setelah dibuai mimpi indah ketika melihat klip Youtube aksi pemain sebelum ini.

Kpah dibawa masuk ke pasukan Kedah atas versetaliti dan pemahaman dalam Liga Malaysia bersama Kipre

Masalah seperti pasukan Kedah setiap musim ialah sering menukar import pada jendela perpindahan kedua kerana import yang hadir pada awal musim gagal memberi impak. Duit terpaksa dikeluarkan lebih lagi untuk selesaikan masalah import.

Diharap, isu pengambilan pemain import ini KFA dan seluruh persatuan/kelab bolasepak lebih peka kerana ia penting untuk memberi impak dalam taktikal pasukan dan memberi impak terhadap bajet pasukan.

Jika proses mendapatkan import dilakukan secara sambalewa tanpa melihat pengaruh kepada bajet yang ada, maka isu tunggakan gaji dan impak kepada kualiti permainan juga akan terjejas.

Lihat sahaja Kelantan suatu ketika, mereka terlalu boros dalam isu pengambilan import tanpa melihat kantung kewangan yang ada sehingga banyak gaji yang tertunggak. Semoga ini dijadikan pengajaran buat semua pasukan.

Tidak mampu mendapatkan import secara ‘scouting’ kerana harga mahal, lakukan sahaja ‘trial’ yang lebih jimat dan menyakinkan untuk jurulatih melihat sendiri.

Sekian.

 

Penulisan amatur: Mohd Afiq Hafizuddin

Gambar sumber carian Google dan Facebook

Lang Merah atau Penyu?

Previous article