Keseluruhan pasukan akan berjuang habis habisan di Kuantan nanti

Terlebih dahulu, penulis ingin mengucapkan tahniah buat kedua pasukan yang berjaya ke peringkat akhir Shopee Piala FA 2019. Perjalanan kedua pasukan ini bukanlah mudah dan dipenuhi drama kejutan yang menghambat jiwa penyokong masing-masing. Baik Kedah mahupun Perak, kedua pasukan ini dilihat seimbang untuk saling merebut kejuaraan tersebut.

Skrip pertemuan Kedah dan Perak pada musim 2019 ini ialah sebanyak 3 kali tidak termasuk final ini. Dari 3 pertemuan tersebut, 2 kemenangan dan 1 seri berpihak kepada pasukan Kedah. Dalam kejohanan sulung Unity Shield di Stadium Darulaman, keputusan berpihak buat Kedah apabila 2 gol dari Kedah tanpa berbalas daripada Perak menyaksikan Kedah menjuarai saingan Unity Shield yang buat pertama kali diperkenalkan.

aksi konsisten shakir dicari untuk pentas final ini

2 pertemuan di Liga Super menyaksikan 1 keputusan seri dan 1 kemenangan berjaya digenggam pasukan Kedah untuk terus memihak buat skuad kendalian Aidil Sharin ini. Walaupun atas kertas menunjukkan Kedah lebih mendominasi sepanjang pertemuan musim 2019 ini, namun kali ini skrip berbeza akan dilayarkan pada malam final esok.

Skuad Mehmet Durakovic pastinya mahu menoktahkan kemenangan sekaligus membalas dendam atas kekalahan lalu di Liga Super. Manakala, Aidil Sharin pastinya mahu menjulang skuadnya dengan satu kejuaraan dan mahu membawa skuad ini pula ke pentas Asia setelah sebelum ini berjaya bersama Home United.

Tahun pertama beliau di Kedah.. sudah membawa skuad Kedah ke pentas Final Piala FA

Untuk pertemuan ini, dijangka setiap penyokong pasti sudah dapat meramal dan merumuskan sendiri kesebelasan utama yang bakal diturunkan. Kedah musim ini hanya menukar 1 import pada siri perpindahan kedua pemain lalu. Perak pula sudah menukar 3 import pada pertengahan musim Liga Super untuk memantapkan skuad tersebut. Kedah menukarkan Anmar Almuburakki yang dilanda kecederaan dengan seorang pemain tengah berpengalaman, Edgar Bernhardt untuk menyuntik sesuatu di ruang tengah Kedah yang agak longlai.

Perak pula merombak 3 posisi import dengan memasukkan pertahanan Hussein Eldor, pemain tengah menyerang Carreca, dan Ronaldo di bahagian serangan. Hasilnya, daripada sekadar mencatat keputusan seri dan aksi kurang menyakinkan, Mehmet berjaya mendapatkan kembali kepercayaan penyokong dengan aksi skuadnya yang lebih mantap.

Dari segi prestasi permainan, kedua pasukan ini agak kurang konsisten berdepan lawan. Adakalanya, kedua pasukan ini beraksi sangat baik dari jangkaan penulis. Namun adakalanya, kedua pasukan mempamerkan corak permainan yang amat longlai. Dalam aksi Liga, Kedah bermula baik pada pusingan pertama dengan aksi yang tajam dan pertahanan yang mantap. Namun beberapa siri kecederaan dan faktor prestasi pemain menyebabkan pada pusingan kedua Kedah kurang menyakinkan dari corak permainan.

Perak pula yang dijangka akan menjadi pencabar terbesar liga musim ini mempamerkan corak permainan ‘yoyo’ pada pusingan pertama serta menjadi pasukan yang mencatat banyak keputusan seri. Namun pada pusingan kedua skuad ini berjaya memecahkan kepompong dan hadir dengan lebih mantap serta lebih tersusun.

Untuk pemain-pemain tumpuan setiap pasukan, penulis menyenaraikan 2 pemain tempatan setiap pasukan dan 2 pemain import setiap pasukan yang dijangka akan menjadi nadi penting buat pasukan. Pemilihan ini ialah berdasarkan pandangan amatur penulis dan tidak bersandarkan mana-mana pihak.

Untuk Kedah, penulis memilih Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali sebagai nadi penting pasukan kategori tempatan. Baddrol Bakhtiar boleh dianggap sebagai ‘otai’ dalam skuad Kedah pada final kali ini apabila pemain ini sudah acapkali mara ke final bersama skuad Kedah sejak beliau mula menyarung jersi Kedah dahulu. Pada musim ini, ‘Captain Marvel’ tersebut beraksi di tengah dan berjaya mencatat beberapa gol serta antara pemain tempatan yang banyak mencipta ‘assist’ buat pasukan. Memiliki kemampuan rembatan jarak jauh, ketepatan hantaran jauh, dan mengawal tengah dengan baik menjadi aset buat Baddrol Bakhtiar musim ini. Rizal Ghazali pula seperti sukar untuk posisi beliau digantikan lagi.

Rizal Ghazali antara barisan pertahanan Kedah yg kental selain Alves dan Shakir

Sebati sebagai ‘the tanker’ di posisi pertahanan kanan Kedah, beliau boleh melakukan larian-larian deras untuk membantu serangan Kedah serta memiliki kekuatan fizikal yang baik sewaktu bertahan. Pemain ini juga boleh menjadi pemain yang tidak dijangka dalam melepaskan rembatan kearah gol lawan.

Untuk skuad Perak, penulis memilih Brendan Gan dan J.Partiban selaku pemain tumpuan final ini. Brendan Gan diakui sebagai antara pemain kacukan terbaik ada dalam liga Malaysia. Pulih beberapa kali dari kecederaan ACL, nyata tidak mematahkan semangat beliau untuk kekal konsisten bersama pasukan yang disertainya.

Brendan Gan dan Baddrol Bakhtiar antara pemain skuad Kebangsaan yang cukup konsisten musim ini

Bersama Perak, pemain ini sangat dominan di tengah dengan daya rembatan jarak jauh dan kekuatan fizikal yang sangat baik. Beliau juga antara pemain yang sangat bersemangat dalam menaikkan moral rakan sepasukan.

Untuk J.Partiban, ini merupakan musim pertama beliau menyertai Perak dan dianggap sukses bersama pasukan tersebut. Menjadi individu penting ketika menyerang nyata aset larian, hantaran lintang, dan skil individu digunakan beliau dengan amat baik. Beliau juga boleh melepaskan rembatan berbahaya kearah gol lawan.

Untuk kategori import Kedah, pada awalnya penulis ingin memilih Renan Alves sebagai salah seorang individu penting pada final ini. Namun,atas sebab beliau tidak dapat beraksi beliau digantikan oleh Edgar Bernhardt serta Shakir Hamzah.

Shakir Hamzah merupakan import dari Singapura bagi kategori Asean. Pemain ini merupakan import yang sangat konsisten bersama pasukan dan kurang mencipta kontroversi. Beliau melakukan tugas sebagai pertahanan yang baik diatas padang untuk bergandingan bersama Renan Alves.

Hasilnya, Kedah antara pasukan yang sangat kebal pada bahagian pertahanan dan Shakir juga mempunyai kebolehan meledak gol dari situasi bola mati. Fizikal yang kuat, kemampuan membaca bola dengan baik, dan kepantasan yang ada digunakan dengan baik oleh Shakir Hamzah untuk menjadi antara pembelian berbaloi Kedah.

Seorang lagi import Kedah ialah Edgar Bernhardt. Pemain ini hadir untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Anmar Almubarakki. Kemasukan beliau nyata berjaya memberi impak dengan baik di ruang tengah apabila Edgar amat rajin bergerak serata padang untuk membuka ruang dan mencari peluang menyediakan servis hantaran akhir buat serangan melaksanakan gol. Selain kemampuan individu yang baik, pemain ini juga sangat baik dari segi teknikal dalam mengambil sepakan percuma.

Edgar Bernhardt

Buat pasukan Perak pula, saya memilih Ronaldo dan Leandro Dos Santos sebagai pemain penting skuad tersebut. Ronaldo yang tampil pada pertengahan Liga Super nyata amat memberansangkan apabila sudah meledak 8 gol dan mendominasi penjaring terbanyak pasukan Perak. Setelah Gilmar gagal memberikan sesuatu yang penting buat Perak, kemasukan Ronaldo nyata berjaya melegakan hati Mehmet Durakovic mengenai masalah serangan skuad bawah kendalian beliau. Memiliki ketajaman yang baik serta susuk tubuh yang tegap menjadikan pemain ini serba lengkap sebagai penyerang utama skuad Perak. Pastinya gol menarik beliau pada 25 Jun lalu ketika bertemu Felda United ingin diulangi lagi pada pertemuan ini.

Leandro Dos Santos boleh dianggap pemain import paling senior dalam skuad Perak. Pemain tengah ini cukup terkenal dalam bolasepak Malaysia dengan permainan psikologi beliau terhadap lawan. Beliau juga merupakan pemain penting di kawasan tengah Perak dalam melakukan ‘dirty work’ dan amat rajin membantu pasukan. Mungkin beliau dibenci lawan kerana gaya permainan yang ditampilkan, namun beliau merupakan aset penting bagi pasukan Perak selaku import dan pemain tengah.

Rumusannya, final ini merupakan pertemuan yang menarik bagi ‘derbi utara’ dan pastinya kedua pasukan ingin merebut peluang untuk mengambil salah satu slot ke saingan peringkat Asia musim hadapan. Kedua-dua jurulatih import ini juga pastinya sudah menyediakan persiapan yang rapi buat pasukan masing-masing untuk saling bersaing merebut gelaran juara.

Diharap segala urusan perjalanan final ini berjalan lancar dan tiada sebarang masalah besar yang berlaku. Agak menarik kerana final kali ini bakal menyaksikan kehadiran pengadil dari luar negara untuk menjadi individu penting bagi perlawanan ini.

Buat para penyokong, semoga perjalanan ‘awaydays’ anda semua berjalan lancar dan saling memberi sokongan padu dan elakkan sebarang provokasi melampau yang hanya mendatangkan imej buruk dalam bolasepak negara. Jadikan final ini sebagai salah satu final Piala FA yang akan dikenang sepanjang zaman dan terus diperkatakan pada masa depan.

Sekian.
Mohd Afiq Hafizudddin

Mara ke pentas akhir Piala FA 2019

Previous article

Malaysia nanti peluang

Next article