Selepas kemenangan Kedah menentang PJ City pada malam hari Rabu yang lalu,  timbul persoalan tentang kehambaran kehadiran penyokong ke Stadium Darul Aman pada malam itu. Berbagai faktor dikaitkan mungkin yang menyumbang kepada kemerosotan kehadiran penyokong, antaranya dengan perlawanan yang berlangsung pada tengah minggu, penyokong yang menumpukan untuk saingan separuh akhir Piala FA & sebahagian yang tidak berpuashati dengan corak permainan Kedah kini dan tidak lupa tentang Syawal yang masih berlangsung.

Mungkin faktor-faktor ini mempengaruhi, namun disini pendapat peribadi dari meja Arena HijauKuning dalam isu sebahagian yang tidak berpuashati dengan corak permainan Kedah, kita seharusnya perlu lebih  memberi peluang & ruang kepada Ketua Jurulatih Aidil Sharin Sahak dalam merencana ‘Kedah Baharu’, mengikut gayanya sendiri.

Tahun pertama beliau di Kedah.. peluang harus diberi untuk beliau membuktikan sesuatu dengan skuad Hijau Kuning

Harus diingat, beliau masih dalam tahun pertamanya bersama bolasepak Kedah dan Malaysia amnya. Skuad yang melalui proses rombakan yang agak besar dari segi pengurusan, kejurulatihan & juga para pemain khususnya pemain import yang semuanya baharu dalam pasukan.

Namun, beliau masih mampu membawa Kedah pada kedudukan ketiga terbaik dalam carta Liga Super sehingga artikel ini ditulis. Perlawanan Ahad ini adalah peluang terbaik untuk mengintai tempat ke Perlawanan Akhir Piala FA 2019. Satu pencapaian yang begitu baik dalam  musim pertamanya!!

Benar, mungkin sehingga kini, gaya permainan Kedah kurang memberikan kepuasan kepada penyokong, namun secara realistiknya kita memberikan peluang & ruang kepada Ketua Jurulatih Aidil Sharin dalam musim pertamanya di Kedah. Mungkin disini penyokong akan memperkatakan tentang Ramon Marcote, mengapa beliau juga tidak diberikan ruang & peluang dalam musim pertamanya. Perbezaan era Ramon Marcote musim lalu, banyak dipengaruhi dengan persekitarannya ketika itu yang tidak sihat dengan wujudnya berbagai masalah dalam pasukan menyebabkan kerjaya beliau terhenti. Namun untuk Coach Aidil Sharin  beliau dilihat mendapat sokongan yang baik dari semua pihak termasuk dari pengurusan, kejurulatihan & pemain-pemain. Cumanya kini, beliau hanya perlukan masa untuk membangunkan pasukan.

Pergaulan Mesra dan Erat mencetus keharmonian pasukan

Musim pertamanya di Kedah adalah musim ini, pasti beliau akan dapat belajar dari sesuatu kesilapan untuk kembali kemas memperkasakan pasukan untuk musim hadapan. Beliau sudah pasti tahu dimana kelemahan musim ini untuk ditampung pada musim hadapan.

Musim ini  walaupun belum berakhir, dari segi kedudukan tahap pasukan Kedah kini, kredit seharusnya diberikan kepada semua didalam pasukan Kedah. Dengan keseluruhannya berwajah baharu kita berupaya lagi di kedudukan yang terbaik di Liga Super & menghampiri pula Final untuk Piala FA. Bersyukurlah!!

Penyokong seharusnya kekal untuk memberikan sokongan dan sentiasa berada dibelakang pasukan. Satu kesan yang paling positif kini yang dibina oleh Ketua Jurulatih Aidil Sharin iaitu berjaya dalam mengembalikan keharmonian dalam pasukan. Satu asas penting ketika era Allahyarham Datuk Paduka Haji Ahmad Basri Akil, Azraai Khor & juga Tan Cheng Hoe suatu ketika dahulu

Falsafah Allahyarham Dato Ahamd Basri tersemai semula di sanubari pemain untuk 2019..

Kita yang berada di kerusi penyokong juga seharusnya mengharmonikan lagi pasukan Kedah untuk sama-sama kita terus melakar sejarah mengembalikan kejayaan masa hadapan. Percayalah dengan peluang & ruang serta sokongan padu semua penyokong, kejayaan pasti mampu dikecapi. Marilah sama-sama kita bersatu hati menyokong Kedah yang satu. Lupakan sengketa, kita semarakkan sokongan ini demi pasukan Kedah yang dicintai.

RIBUAN SUARA SATUKAN GEMA!

Pulun Kedah Pulun!

– Muhammad Hazriq Fahimy bin Abdullah –

Kedah Mahu Tiga Mata

Previous article

Mara ke pentas akhir Piala FA 2019

Next article