KDA FC tampak gah menggenggam 3 mata kedua mereka setelah menumpaskan pasukan lawan, PJ City di laman sendiri.

Beraksi di Stadium Darulaman tampak pasukan tuan rumah garang menguasai perlawanan dengan mengasak beberapa siri serangan ke kubu pihak lawan. Beberapa muka baharu digandingkan kali ini dengan Fandi Othman dan Rozaimi Abd Rahman diturunkan dalam kesebelasan utama.

Kesebelasan Pemain Kedah semalam dalam perlawanan Liga Super 4. Kedah menewaskan PJ City 3-1.

Skuad Hijaukuning nyata tidak bermasalah menguasai perlawanan dengan gerakan yang tersusun dan hadir dengan peluang-peluang yang terhidang untuk mencari gol. PJ City yang lebih banyak bertahan sesekali berjaya melakukan serang balas namun mudah dineutralkan oleh pertahanan KDA FC yang kukuh menyerap asakan.

Disebalik ancaman yang dilakukan KDA FC, mereka dikejutkan dengan penalti yang diperolehi skuad PJ City setelah pemain mereka, Sunil Chandran dikasari Fandi Othman dalam kotak penalti pada minit ke-38.

Aksi pemaian PJ City Sunil Chandran meraikan gol pendahuluan menentang Kedah semalam

Kogileswaran yang menjadi pemain gantian kepada Darren Lok mudah menewaskan Shahril Shaari untuk meletakkan skuad PJ City di hadapan terlebih dahulu. Keputusan kekal sehingga tamat wisel separuh masa pertama.

Menjelang separuh masa kedua, KDA FC memanfaatkan kelemahan lawan dengan meningkatkan intensiti permainan termasuk pertukaran pemain yang membuahkan hasil. Nyata PJ City langsung tidak dapat melakukan sebarang percubaan kearah gawang gol KDA FC dan lebih banyak bertahan dengan serangan demi serangan lawan.

Aksi Pemain Kedah Rizal Ghazali dan pemain PJ City semalam dalam perlawanan Liga Super 4. Kedah menewaskan PJ City 3-1.

Gol yang dicari tiba apabila Baddrol Bakhtiar berjaya meledak gol sulung Kedah termasuk gol pertama peribadi beliau musim ini untuk kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-47 setelah menerima hantaran cantik Rabih Ataya melalui sepakan sudut.

Aksi Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar  semalam dalam perlawanan Liga Super 4. Kedah menewaskan PJ City 3-1.

Moral pasukan dari utara ini terus meningkat dengan menggandakan lagi usaha dan meningkatkan lagi ancaman ke kubu lawan. Nyata percaturan Aidil Shahrin selaku jurulatih KDA FC membuahkan hasil dengan gol kedua berjaya diraih. Hasil hantaran cantik daripada Baddrol Bakhtiar, Kpah Sherman berjaya menewaskan penjaga gol PJ City, Kalamullah untuk meletakkan skuad KDA FC pula di hadapan.

Disaat KDA FC mula mengendurkan sedikit asakan dan PJ City pula cuba mencuri peluang, pemain lincah KDA FC iaitu Fayadh Zulkifli memadam terus impian lawan untuk sekurangnya menyamakan kedudukan apabila berjaya menanduk masuk gol ketiga KDA FC pada minit ke-84 setelah menerima hantaran lintang cantik daripada pemain gantian, Azamuddin Akil.

Aksi Fayadh selepas menjaringkan Gol ke3 Kedah semalam

Keputusan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan. KDA FC 3-1 PJ City. Suatu perlawanan yang sangat penting sebenarnya buat skuad kendalian Aidil Shahrin dalam merebut 3 mata untuk terus mengejar kedudukan terbaik liga. Setelah keciciran mata kepada Penang FC serta moral pemain terutama Baddrol Bakhtiar yang sedikit menurun, kemenangan ini dilihat berjaya meraih kembali momentum yang diperlukan pasukan KDA FC.

1 gol dan 1 bantuan gol nyata menjadi hadiah terbaik buat individu bernama Baddrol Bakhtiar. Pemain senior KDA FC ini menerima kritikan yang hebat rentetan 3 aksinya sebelum ini berada pada bawah prestasi sebenar.

Kpah menunjukkan isyarat tentang assist Baddrol Bakhtiar

Dengan corak permainan yang berjaya dipertingkan beliau, berjaya meledak gol, serta memberi bantuan gol secara tak langsung memadam kritikan-kritikan sebelum ini yang menekan beliau.

Lebih menarik pada perlawanan ini, pemain bernama Tam Tseang Shung berjaya mendapat minit permainan bersama skuad meskipun sudah 2 tahun berada di bumi Darulaman ini. Diharap ini bakal menjadi titik kebangkitan dan semangat baharu buat pemain ini dalam menabur bakti bersama KDA FC.

Aksi Tam dalam perlawanan semalam di Stadium Darulaman

Apapun, syabas diucapkan buat KDA FC yang meraih kemenangan kedua musim ini serta di laman sendiri. Semoga skuad ini terus sukses dan suntikan motivasi yang terbaik untuk perlawanan-perlawanan selepas ini terutama dalam saingan AFC 2021.

Pulun Kedah Pulun!

KHAIRUL HELMI JOHARI, PERTAHANAN KENTAL ANAK KEDAH SEPANJANG ZAMAN!

Previous article

REVIEW: KDA FC MENERUSKAN MOMENTUM KEMENANGAN, SRI PAHANG TERUS DIRUNDUM KEKECEWAAN!

Next article