Gila! Itu sahaja perkataan yang terluah daripada mulut penulis sepanjang perlawanan antara Kedah menentang Pahang semalam. 120 minit perlawanan semalam merupakan kegilaan yang tak akan dilupakan oleh dua penyokong pasukan ini.

10 gol terhasil di Stadium Darul Makmur dan kedua-dua pasukan saling terikat tidak mahu mengakui kekalahan menjadikan ini suatu perlawanan yang epik. Kedah yang terus berusaha dalam memastikan diri mereka mendahului dan Pahang yang tidak mengalah dalam terus mencipta impian final.

Nando mengganas dengan dua gol

Intensiti perlawanan meningkat dan terus meningkat sejak wisel permulaan berbunyi dan tidak pernah menurun sehingga wisel penamat dibunyikan. Sorakan menggila antara 2 penyokong juga langsung tidak bersurut malah makin menggila dalam menghidupkan motivasi perlawanan.

Gelombang yang dibawa dari Stadium Darul Makmur nyata menyerlahkan habanya ke seluruh pelusuk negara dengan aksi-aksi yang padat dipamerkan kedua-dua pasukan. Laungan jurulatih masing-masing sibuk dalam memberi arahan dan petunjuk buat anak buah mereka.

Aidil Sharin sendiri dilihat bermandi peluh dari tepi padang dengan tidak putus memberi semangat dan panduan buat pasukannya. Rakan sejawat, Dollah Salleh juga tidak senang berdiri dengan kerap memberi jerkahan buat anak-anak buah dalam mendisiplinkan mereka.

Tak senang duduk Coach Aidil untuk perlawanan semalam

Dalam padang, kedua pasukan menggila dengan bermain secara terbuka dan tidak melengahkan setiap detik untuk memburu gol dan menguji lawan masing-masing. Ada persaingan mengenai kepantasan, ada persaingan mengenai ketepatan gol, ada persaingan mengenai kekuatan individu, dan ada persaingan pasukan mana yang akan mendahului lawan masing-masing.

Bola seolah tidak mencecah tanah, nafas seolah tidak sempat dihirup, dan keringat seolah tidak pernah mengering, kedua pasukan sibuk melancarkan serangan dan membantu rakan sepasukan masing-masing untuk terus menguasai bola.

Sumareh dirantai rapat oleh Azmeer..

Watak pengadil sendiri tidak kurang menjadi tumpuan, pengadilan yang baik serta beliau sendiri tidak sempat berhenti untuk terus berlari dan berlari menjadikan beliau manusia yang sibuk untuk memberi pengadilan buat kedua pasukan yang bertanding. 120 minit mengadili 2 pasukan besar negara bukanlah suatu tugas mudah dan beliau menyudahkan tugas dengan baik sekali.

Drama dan emosi digabung menjadi satu semalam. Lensa kamera tidak putus-putus dalam merakam aksi epik ini. Emosi dalam kalangan penyokong pastinya antara tumpuan utama. Ada yang bermuram durja, ada yang diamuk duka, dan ada yang bersorak gembira bagai nak gila.

Antara penyokong Kedah yang menggila semalam

Emosi pemain juga adalah satu perkara yang penting semalam. Bagaimana Kedah yang terpaksa berjuang di halaman lawan dengan agregat yang tidak memihak mereka dan skuad itu berjaya bangkit dengan sudut motivasi yang luar biasa. Terserlah kepuasan dalam riak wajah Fernando saat meledak gol. Terbitnya rasa gila di wajah Renan apabila beliau berjaya mencatat gol.

Renan sorak tak putus putus bagi semangat

Bagaimana tekanan Pahang dalam terpaksa menelan hakikat pasukan mereka terpaksa akur di tangan Kedah untuk ke pentas akhir. Dickson Nwakaeme pastinya antara insan yang paling beremosi. Helmi Heliza pastinya antara yang begitu pilu dalam menerima hakikat keputusan.

Keputusan sebegini takkan terjadi jika tiada kerjasama berpasukan sesama pemain.. Tahniah

Tiada sebarang ulasan perlawanan yang ingin penulis ingin titipkan selain suatu catatan kecil mengenai perlawanan epik yang akan dikenang bila-bila oleh kedua penyokong ini. Biarkan penulisan ini menjadi sebahagian gambaran buat mereka terus mengenang malam penuh bersejarah ini.

Tahniah Kedah kerana berjaya melangkah ke peringkat akhir Piala Malaysia 2019.

Tahniah diucapkan buat Pahang yang melawan sehingga ke garisan penamat untuk terus mencatat rekod kebal di Stadium Darul Makmur.

Tahniah buat kedua penyokong yang mengamalkan nilai positif tanpa sebarang isu sepanjang perlawanan gila ini berlangsung. Tanpa penyokong, apalah nikmat bolasepak sebenar.

Pasukan Kedah memberi penghormatan pada penyokong yang hadir

Tahniah semua!

Sekian
Daripada: Mohd Afiq Hafizuddin Bin Abd Halim

Pahang atau Kedah? Siapa pilihan anda?

Previous article

3 kombo F : Final, Fayadh, Fadzrul…

Next article