Ronald Ngah Garang Bantu Kedah Catat Kemenangan Keempat Liga Super Atasi Penang

created by inCollage

Oleh: Afiq Rowley


Ronald Ngah Wanja akhirnya berjaya menutup mulut pengkritik diri beliau apabila menyerlah dengan meledak dua gol kemenangan Kedah Darul Aman bagi mengatasi tuan rumah, Penang dengan keputusan 2-1 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Kemenangan tersebut kembali meletakkan Kedah di tangga kedua Liga Super 2022 dengan mengutip 12 mata keseluruhan untuk mengatasi Sabah yang merekodkan kekalahan di tangan Kuala Lumpur City semalam.

Seawal permainan menyaksikan Kedah hampir meledak gol menerusi sepakan percuma yang diambil Syafiq Ahmad di luar petak penalti, sebelum bola percubaan beliau sekadar menggegar palang disusuli tandukan oleh Ronald Ngah yang dapat diselamatkan tuan rumah di atas garisan gol.

Pada minit ke-8, pemain sayap lincah Kedah iaitu Al-Hafiz Harun hampir memecahkan kebuntuan gol menerusi gerakan solo beliau yang berjaya memperdayakan pertahanan lawan sebelum percubaan beliau sekadar melewati gawang gol Penang.

Kedah terus menguasai permainan dengan mencipta satu lagi percubaan menerusi tandukan Syafiq Ahmad pada minit ke-10 setelah menerima umpanan cantik daripada Fayadh Zulkifli dari sebelah kiri.

Penang membuka tirai jaringan menerusi serangan balas pantas yang dicetuskan oleh T. Saravanan sebelum disudahkan oleh penyerang import mereka, Hilal El-Helwe pada minit ke-16.

Ronald Ngah hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi tandukan kencang dalam kotak penalti setelah menerima umpanan cantik dari sebelah kiri oleh Ariff Farhan Md Isa.

Kedah kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-62 menerusi Ronald Ngah yang berjaya meledak gol penalti setelah sebelum itu beliau dijatuhkan dalam petak penalti untuk kembali membuka peluang permainan.

Ronald terus menyemarakkan kem Kedah setelah berjaya meledak gol kedua pada minit ke-65 menerusi serangan balas pantas untuk memerangkap pertahanan lawan menerusi gerakan solo dari tengah padang.

Keputusan perlawanan kekal dengan Kedah kembali berada di landasan terbaik untuk mencatat kemenangan keempat liga musim ini setelah sebelum itu mereka tewas di tangan Selangor.