Review semasa SMJ Cup: Kekuatan Dan Kelebihan Pasukan Bertanding

created by inCollage

Petang ini Kedah bakal menjadi pasukan pertama yang membuka tirai saingan SMJ Cup yang berlangsung di Sabah dengan bertemu Sarawak United pada jam 4:15 petang.

Umum diketahui kejohanan ini bakal menjadi medan sebenar buat Aidil Sharin menguji kemampuan skuadnya setelah sebelum itu mengharungi beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan kurang ternama bagi membina keserasian.

Selain Kedah, terdapat tiga pasukan yang bakal bertanding sekali dalam kejohanan ini iaitu Sabah selaku tuan rumah, Kelantan, dan Sarawak United.

Berikut sedikit review mengenai kekuatan setiap skuad yang bertanding dalam kejohanan ini:

Kedah Darul Aman

Kedah musim ini dilihat melakukan transformasi baharu dalam pasukan dengan lebih ramai penyertaan muka-muka baharu selain keseluruhan import ditukar.

Naib juara Liga Super 2021 ini dilihat serius untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan kejohanan AFC dengan menandatangani beberapa pemain bintang tempatan seperti Al-Hafiz Harun, Khairu Azrin, Amirul Azhan, dan mengekalkan terus Rodney Calvin setelah sebelum itu dipinjamkan oleh Selangor.

Kedah juga berjaya mendapatkan pemain import berstatus bintang iaitu Marc Vales yang merupakan pertahanan utama negara Andorra serta Ronald Ngah yang merupakan penjaring terbanyak musim lalu di Liga Jordan.

Kelantan FC

Pasukan ini merupakan satu-satunya yang beraksi di Liga Premier yang menyertai kejohanan ini dan berada bawah kendalian legenda, Rezal Zamberi Yahya.

Pada musim lalu, Kelantan telah menamatkan musim di Liga Premier pada kedudukan keenam carta liga. Skuad kendalian Rezal Zamberi Yahya ini juga menamatkan kempen saingan Piala Malaysia di peringkat kumpulan.

Kekuatan skuad ini pada musim lalu terletak pada penyerang tempatan mereka, Nurshamil Abd Ghani.

Untuk musim ini, Kelantan diperkuatkan dengan beberapa pemain baharu yang mempunyai kualiti terbaik seperti bekas pertananan Kedah, Khairul Helmi Johari dan penyerang import dari Lubnan, Fadel Antar.

Sarawak United

Skuad kendalian E. Elavarasan ini merupakan naib juara Liga Premier musim lalu dan wajar diberikan perhatian kerana mempunyai beberapa pemain berstatus bintang seperti S. Veenod, Christie Jayaseelan, Ashri Chuchu yang sangat memahami kehendak taktikal jurulatih tersebut.

Pada musim ini, mereka juga bakal diperkuatkan dengan bekas penyerang import berbisa Negeri Sembilan yang menyertai skuad tersebut iaitu Francis Kone yang bakal bergandingan bersama seorang lagi penyerang sensasi, Uche Agba yang telah meledak 19 gol musim lalu.

Sabah FC

Pasukan tuan rumah ini antara yang paling mencuri tumpuan musim ini dengan berjaya mendapatkan ramai pemain bintang selain sentuhan magis pengendali, Datuk Ong Kim Swee.

Antara nama besar yang menyertai Sabah musim ini ialah Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Dominic Tan, dan Khairul Fahmi Che Mat. Nama-nama pemain ini juga sebelum itu pernah bersama Kim Swee dalam skuad negara dan pastinya mereka sudah mengenali cara kejurulatihan beliau.

Dari segi import, mereka mengekalkan dua pemain musim lalu iaitu Saddil Ramdani dan Park Tae-soo selain mendapatkan tiga lagi muka baharu untuk memperkuatkan pasukan.

Moga maju jaya buat semua pasukan bertanding dan diharap tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Buat Kedah, moga maju jaya dalam kejohanan ini!