Preview: Kedah Ada Kelebihan Berbanding Penang

created by inCollage

Oleh: Mohd Afiq Hafizuddin

Malam ini satu lagi perlawanan persahabatan yang membabitkan Kedah menentang Penang akan berlangsung buat julung kalinya di Stadium Darulaman sepanjang aksi pramusim.

Kedah antara pasukan yang sangat cemerlang sepanjang siri persahabatan apabila hanya tumpas sekali di tangan Sabah selain merekodkan satu sahaja keputusan seri. Selebihnya semua mencatat kemenangan.

Juara SMJ Cup itu dilihat tampil dengan sedikit perbezaan dalam corak permainan setelah banyak muka baharu yang menyertai skuad ini untuk membawa cabaran dalam saingan domestik serta antarabangsa bagi Piala AFC.

Penang yang menduduki tangga ketiga Liga Super musim lalu juga tampil dengan perubahan yang agak besar dalam skuad mereka termasuk pemain import baharu yang menghiasi skuad Harimau Kumbang ini.

Untuk rekod musim lalu, dua pertemuan membabitkan kedua pasukan ini menyaksikan Kedah lebih baik apabila mencatat keputusan seri di gelanggang lawan dan kemenangan besar sebanyak 4 jaringan terhasil untuk mengalahkan pasukan kendalian Tomas Trucha ini.

Untuk perlawanan malam ini, tumpuan pemain tempatan Kedah akan terarah kepada Amer Azahar. Bekas pemain sayap Penang musim lalu ini berjaya menampilkan corak permainan yang sangat baik sepanjang aksi pramusim bersama Kedah.

Gerakan lincah beliau berjaya menghidupkan serangan Kedah dari bahagian sisi selain pemain ini turut rajin untuk membantu pertahanan pasukan. Tatkala pada awalnya ramai mahu melihat aksi Al-Hafiz Harun, tampil Amer Azahar yang dilihat lebih menyerlah.

Bagi Penang, pemain tempatan mereka yang bakal diberi perhatian adalah Danial Ashraf. Pemain lincah yang beraksi untuk musim kerua bersama skuad ini berjaya memberi impak yang berkesan setiap kali diturunkan dan sangat tajam di hadapan gol.

Untuk perhatian pemain import setiap pasukan pula, Dechi Marcel pastinya akan terus diperhatikan oleh peminat Kedah.

Pemain tengah ini berjaya menjadi penyelesaian buat Aidil Sharin yang sebelum ini gagal mendapatkan import di bahagian tengah untuk pasukannya.

Marcel yang sebelum itu cemerlang bersama Terengganu, telah memberi impak yang positif sepanjang bersama Kedah. Pemain ini ada material yang lengkap untuk beraksi sebagai nombor 8 dengan kelincahan, kerajinan, dan sangat kreatif.

Penang pula pastinya akan terarah kepada Endrik Dos Santos. Pemain ini ibarat nadi utama buat pasukan mereka. Sejak musim lalu, Endrik telah mempamerkan corak permainan yang sangat baik buat kelabnya.

Berkebolehan tinggi dalam kawalan bola, tajam di hadapan gol, dan kreatif mencipta lorongan buat penyerang menjadikan beliau aset penting buat Penang.

Malam ini pastinya kedua jurulatih baik Aidil Sharin mahupun Tomas Trucha bakal merangkai sesuatu biarpun ini hanyalah perlawanan persahabatan.

Trucha pastinya tidak rela lagi mencatat kekalahan setelah sebelum itu mereka tumpas di laman sendiri buat pasukan Liga Premier, Perak.

Kedah pula pastinya mahu meneruskan momentum kemenangan mereka setelah baru-baru ini sekali lagi mencatat keputusan positif setelah menewaskan Kelantan United dengan keputusan 3-2.

Jangkaan anda pula bagaimana?

Jom beri sokongan malam ini buat pasukan kesayangan kita dan berdoa supaya kita mencatat kemenangan sekali gus meningkatkan lagi motivasi pasukan menjelang pembukaan Liga Malaysia (Liga-M) tidak lama lagi.