Preview: Ini 3 Faktor Kedah Bakal Raih Kemenangan Kedua Atasi KL city

created by inCollage

Oleh: Mohd Afiq Hafizuddin

Setelah berhasil mendapat kemenangan di gelanggang lawan pada perlawanan pertama Liga Super Jumaat lalu, Kedah bakal membuka tirai aksi kedua di laman sendiri dengan pelawat, Kuala Lumpur City menjadi lawan mereka.

Skuad kendalian Aidil Sharin berjaya mempamerkan rentak permainan yang kemas pada perlawanan pertama dengan dibarisi rata-rata muka baharu yang menghiasi kesebelasan utama untuk menidakkan cabaran Sarawak United di Stadium Negeri.

Beraksi di Stadium Darulaman, Kedah dilihat mampu untuk mengutip tiga mata penuh walaupun lawan merupakan juara Piala Malaysia edisi ke-100.

Ini tiga faktor mengapa Kedah bakal memenangi perlawanan menentang KL City:

Kelebihan Beraksi di Laman Sendiri

Kedah antara pasukan yang sangat kebal bila beraksi di laman sendiri sejak beberapa musim ini. Pasukan tersebut jarang keciciran mata walaupun bertemu lawan yang kuat ketika bermain di Alor Star.

Ditambah dengan sokongan padu oleh para penyokong Sang Kenari, skuad ini pastinya tampil dengan lebih berkeyakinan berbanding lawan yang bakal hadir dengan sedikit tekanan menerusi perang psikologi yang bakal diberi oleh pemain ke-12 Kedah.

Barisan Pemain Yang Menyerlah

Skuad kendalian Aidil kali ini tampil dengan lebih bersedia di segenap posisi dengan barisan simpanan juga mempunyai kualiti yang sama seperti pemain utama.

Musim ini Kedah juga berjaya mendapatkan import berprofil tinggi seperti Ronald Ngah yang sudah pun membuka akaun jaringan pada perlawanan pertama.

Taktikal Aidil Sharin semakin matang

Dengan senarai pemain yang ramai, Aidil dijangka bakal mempelbagaikan lagi formasi permainan dan variasi taktikal untuk memerangkap pasukan pelawat.

Prestasi Semasa Pasukan

Berdasarkan prestasi semasa, Kedah berada pada tahap dan motivasi terbaik untuk memenangi perlawanan malam ini.

Mereka mencatat kejayaan sulung dalam saingan Liga Super di gelanggang lawan. Beberapa pemain bintang lain juga masih menunggu kesempatan untu diturunkan.

Selain itu, moral mereka juga meningkat setelah kejayaan kelab ini menjulang kejohanan SMJ Cup yang diadakan pada pra-musim lalu.

Berbanding KL City, skuad ini mempunyai masalah bergelut dengan prestasi sendiri setelah mencipta kejutan pada aksi Piala Malaysia tahun lalu.

Pada awal musim, KL City mencatat kekalahan 3-0 di tangan JDT bagi aksi Piala Sumbangsih. Seterusnya pada perlawanan pembukaan Liga Super, mereka hanya sekadar seri bagi aksi derbi ‘Klang Valley’ menentang pasukan Selangor.

Pemain Tumpuan Kedah

Malam ini aksi penyerang import, Ronald Ngah pastinya bakal diberi tumpuan sekali lagi setelah kelibat beliau pada perlawanan pertama mendapat pelbagai penilaian oleh para peminat.

Aksi Ngah Wanja bakal dilihat di Stadium Darulaman malam ini

Ada yang menyatakan beliau sedikit ‘berat’ untuk membuat sebarang larian dan kurang mempamerkan naluri ‘pembunuh’ sebagai seorang bekas penjaring terbanyak di Liga Jordan musim lalu.

Pemain Tumpuan KL City

Pertahanan import kelab ini antara yang wajar diberi perhatian oleh barisan pemain Kedah. Beliau antara pertahanan yang sangat tajam sewaktu situasi bola mati.

Kredit: Media Kuala Lumpur City FC

Giancarlo Gallifuoco merupakan bekas pertahanan Tottenham Hotspurs dan pemain ini menjadi banyak punca kemenangan dan kekebalan buat KL City musim lalu di Liga Malaysia (Liga-M).

Rumusan

Apapun, perlawanan malam ini pastinya menjadi medan penting buat Aidil Sharin menilai skuadnya sebaik mungkin.

KL City bukan satu lawan yang mudah. Mereka berjaya menewaskan Kedah pada September lalu dengan permainan yang sangat ampuh di segenap posisi.

Walaupun musim ini masing-masing ada perubahan pemain dalam pasukan, kedua jurulatih ini pastinya tidak akan mengambil mudah dan bakal merencana sesuatu bagi memerangkap antara satu sama lain.

Buat Kedah, moga maju jaya!

Buat para penyokong, sila jaga SOP masing-masing bagi yang pergi ke stadium dan menjadi contoh buat para penyokong lain di Malaysia.

Semoga kita beroleh kemenangan!