Musim Mencabar Buat Fadzrul Danel

created by inCollage

Jika dilihat pada persiapan Kedah musim ini, barisan pemain tengah yang dimiliki skuad kenari ini agak ramai dan mempunyai kualiti yang berbeza serta pasti memberi persaingan sengit sesama mereka merebut kesebelasan utama termasuk pemain tengah berbakat besar, Fadzrul Danel.

Beliau bukan lagi dikategorikan sebagai pemain muda sejak dua musim lalu. Sejak musim 2018 beliau menyertai skuad senior ini menyaksikan Fadzrul sudah pun bergelar pemain senior buat Kedah sama seperti rakannya, Fayadh Zulkifli biarpun usia baru mencecah 24 tahun.

Pemain tengah menyerang ini perlu buktikan sesuatu yang berbeza mengenai diri beliau untuk terus menambat hati Aidil Sharin meletak beliau kesebelasan utama dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Penjaring gol tunggal untuk Kedah menjulang Piala FA 2019 ini mempunyai kelebihan yang sangat bagus di bahagian tengah terutama sekali sewaktu pasukan dalam mod menyerang.

Beliau juga mempunyai daya kebolehan beraksi di posisi nombor 8 walaupun tidak begitu menyerlah seperti ketika bermain di posisi nombor 10 untuk menbantu rakan serangan.

Musim ini cabaran besar buat diri beliau apabila Kedah mempunyai rangkaian pemain tengah yang ramai dan berbakat. Antara saingan Fadzrul di posisi tersebut ialah Dechi Marcel, Asnan Ahmad, Khairu Azrin, Amirul Hisyam, serta Syafiq Ahmad yang juga boleh beraksi di nombor 10.

Peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama amat terhad dan Fadzrul perlu buktikan sesuatu dengan menggandakan lagi latihan peribadi selain menajamkan serangan.

Jika diimbas, pemain ini semakin matang dalam corak permainan beliau setiap kali dibawa turun beraksi. Ada skil kawalan bola yang baik, visi yang bagus, serta mampu menghadapi tekanan mental tinggi.

Beliau hanya perlu meningkatkan lagi tahap permainannya supaya tidak kekal statik dan tenggelam dengan bakat-bakat lain untuk pemain ini terus kekal relevan bersama Kedah.

Esok, Kedah bakal menghadapi perlawanan terakhir untuk saingan SMJ Cup menentang Sabah. Moga Fadzrul dan rakan sepasukan catat kemenangan.

Apapun, kami doakan yang terbaik buat Fadzrul Danel.

Pulun Fadzrul Pulun!

Oleh: Mohd Afiq Hafizuddin @ Afiq Rowley