Kedah Ke Asia Lagi….Cemerlang di Laman Sendiri

Oleh: Mohd Afiq Hafizuddin Bin Abd Halim

Pasukan Kedah Darul Aman FC berjaya menoktahkan persoalan siapa yang bakal menjadi naib juara Liga Super 2021 apabila cemerlang menewaskan Melaka United dengan keputusan 4-1 di Stadium Darul Aman.

Walaupun dilanda dengan tekanan sebelum ini apabila sekadar seri menentang pasukan tercorot liga iaitu UiTM FC, nyata skuad kendalian Aidil Sharin berjaya bangkit dengan gah untuk membenam cabaran anak buah Zainal Abiddin di laman sendiri.

 

Aksi Loqman semakin mendapat kepercayaan Coach Aidil dalam kesebelasan utama pasukan

Selain KDA FC, 2 lagi pasukan iaitu Terengganu FC dan Penang FC juga dilihat saling merebut tempat untuk melayakkan diri mereka sebagai naib juara Liga Super serta sekaligus menempa tiket ke Asia. Namun KDA FC cemerlang mengenepikan kedua pasukan tersebut untuk terus menjadi naib juara Liga Super kali ke-2 berturut-turut.

Pada perlawanan semalam nyata KDA FC mempamerkan rentak permainan yang sangat berbeza berbanding perlawanan lalu dengan garang mengasak ke kubu lawan dan cemerlang di setiap posisi.

Kembalinya Ifwat Akmal sebagai penjaga gol utama, nyata pemain ini sangat cemerlang menepis setiap percubaan berbahaya walaupun bolos 1 gol kepada penyerang Melaka United, Adriano.

                                                                                          Aksi Ifwat menjaga gawang wajar dipuji atas beberapa percubaan Melaka yang merbahaya                                                                                         Posisi pertahanan juga menyaksikan Loqman kembali diberi kepercayaan mengemudi pertahanan tengah bersama import, Renan Alves. Kedua pemain ini berdisiplin mengawal pertahanan dari muda ditembusi lawan serta banyak memenangi bola dengan pantas untuk mengelak sebarang kesilapan.

 

Pertahanan kanan, Rizal Ghazali menjadi nadi penting pasukan KDA FC dengan sumbangan besar beliau di bahagian pertahanan dan serangan. Memiliki stamina yang tinggi nyata menjadi aset Rizal untuk naik dan turun membantu pasukan. Bagi pertahanan kiri, walaupun Arif Farhan terpaksa berhempas pulas untuk menangani sayap lincah Melaka United semalam, pemain ini masih mampu mengekalkan disiplin beliau dan bergandingan baik bersama Syazwan Zainon baik dari segi bertahan mahupun sesekali serangan dilakukan.

Bahagian tengah menyaksikan gandingan Anumathan Kumar, Fadzrul Danel, dan Baddrol Bakhtiar yang masing-masing mempamerkan gandingan yang baik berbanding perlawanan lalu.

Anumathan berjaya mempamerkan permainan yang menarik dengan meneutralkan serangan lawan dan kerap mematahkan gerak pemain lawan, Manuel Ott daripada mencipta serangan dari tengah. Disiplin beliau yang tinggi berjaya untuk menyekat pemain tengah lawan lebih lama menyimpan bola.

Baddrol Bakhtiar dan Fadzrul Danel dilihat kerap bertukar posisi mengikut keadaan dan lebih stabil ketika membantu serangan melalui hantaran-hantaran mudah. Pada pengamatan penulis, minda Fadzrul Danel lebih cenderung kepada menyerang dan kerap mencipta gerak bersama Kipre untuk merosakkan pertahanan lawan. Satu assist menarik berjaya dicipta pemain tengah masa depan Kedah ini dan aksi beliau nyata semakin matang.

Aksi Anu juga cukup “solid” di bahagian tengah

Baddrol Bakhtiar lebih banyak bersedia di belakang sekiranya Fadzrul kehilangan bola dan menjadi gandar utama untuk menyambung serangan yang terputus. Gol beliau semalam menjadi tonik terbaik beliau untuk lebih bersedia dalam kejohanan Piala Malaysia akan datang.

Trio serangan semalam menyaksikan Syazwan Zainon, Tchetche Kipre, dan Faizat Ghazli diberi kepercayaan penuh untuk merobek gawang lawan. Ketiga-tiga pemain ini beraksi bagus dan kerap turun ke bawah untuk membantu pertahanan dan mencipta gerakan.

Cuma Faizat Ghazli dilihat sesekali seperti hilang fokus dan tidak begitu berbahaya dalam menekan pertahanan lawan. Bagi Syazwan Zainon, pemain senior ini rajin dalam memberi sumbangan besar buat pertahanan dam membantu Arif Farhan bertahan dan cepat kembali menyerang ketika serangan balas dilancarkan.

Faizat Ghazali juga cukup cemerlang untuk menyusup masuk ke dalam kawasan tengah dan tepi Melaka

Tchetche Kipre menjadi pemain paling cemerlang semalam dengan terbabit dalam kesemua 4 gol dan berjaya menambah lagi 2 koleksi gol peribadi untuk menyaksikan 10 gol keseluruhan beliau musim ini serta menjadi raja assist buat KDA FC dengan 13 bantuan gol musim ini buat KDA FC.

Tanpa Kpah Sherman, pemain ini tidak berdepan sebarang masalah untuk menjadi penyerang utama dan menjadi watak penting dalam mencipta gerakan-gerakan berbahaya.

Aksi Kipre selepas selepas menjaringkan gol pertama Kedah

Untuk barisan pemain simpanan yang dimasukkan semalam, hanya Fayadh Zulkifli berjaya mempamerkan diri beliau selaku supersub penting buat KDA FC. 1 gol berjaya dicipta beliau untuk meletakkan koleksi gol pemain bertubuh kecil ini sebanyak 4 gol musim 2021.

Aidil Sharin sudah boleh menghembuskan nafas lega setelah banyak kesukaran dihadapi skuad beliau musim ini dan mampu berakhir di kedudukan ke-2 liga dengan cemerlang.

 

Walaupun berdepan dengan pelbagai tekanan, pengendali dari Singapura ini masih berjaya memimpin skuad beliau untuk terus menjadi antara nama besar dalam Liga Malaysia dan sekali menempah tiket ke saingan AFC musim hadapan.

Kini beliau hanya perlu fokus kembali untuk kejuaraan Piala Malaysia dan peluang terakhir untuk musim ini beliau menggenggam 1 piala. Segalanya tidak mustahil jika melibatkan pasukan Kedah Darul Aman FC.

Keserasian Kipre dan Badd semalam cukup mengucar kacirkan Melaka semalam

 

Tahniah diucapkan buat skuad Kedah Darul Aman FC yang menjadi naib juara bagi saingan Liga Super Malaysia musim 2021!

#arenahijaukuning #kdafc #lottomy #kakijersi #viksproperties #cafediem #ezzonecomm #aorora #kicka #pulunkedahpulun