Kebanggaan Kedah, Aiman Afif Sebagai Kapten Skuad B-23 Negara

created by inCollage

Oleh: Mohd Afiq Hafizuddin

Pemain muda berpotensi tinggi, Aiman Afif sah dilantik selaku kapten pasukan kebangsaan bawah 23 (B-23) untuk saingan Piala AFF B-23 di Kemboja musim 2022.

Pemain ini bukan lagi nama asing buat pengendali skuad B-23, Brad Maloney apabila sebelum ini nama Aiman antara yang menjadi sebutan ramai sewaktu bersama skuad B-18 dalam saingan kelayakan AFC B-19 dengan 7 gol direkodkan beliau sewaktu kejohanan tersebut.

Lebih membanggakan, ketika itu beliau hanya beraksi sebagai pemain simpanan dan jumlah gol dihasilkan pemain ini juga meletakkan nama Aiman selaku antara penjaring terbanyak bersama Luqman Hakim yang kini beraksi di KV Kortrijk.

Bersama Kedah, Aiman Afif kurang diberi peluang beraksi namun sesekali beliau diturunkan, pemain ini mampu memberi impak yang baik dalam pasukan terutama sekali dari segi kreativiti serangan.

Aiman juga merupakan seorang  yang ‘versatile’ apabila beliau mampu beraksi di pelbagai posisi seperti pertahanan, tengah, tengah menyerang, dan penyerang utama menjadikan pemain ini mampu beradaptasi dalam mana-mana perubahan taktikal yang diterapkan.

Esok skuad kebangsaan akan berdepan cabaran pertama mereka dalam kejohanan tersebut untuk menentang Myanmar dalam peringkat Kumpulan B di Stadium Prince, Phnom Penh.

Pastinya kelibat Aiman antara yang bakal menjadi tumpuan ramai peminat terutama sekali para penyokong Kedah yang pastinya mengharapkan persembahan terbaik beliau dapat digunakan sepenuhnya nanti ketika kembali beraksi bersama Kedah.

Pulun Aiman Pulun!