KDA FC Berputih Mata, Hatrik Ifedayo Memacu Kemenangan

Kedah Darul Aman FC memulakan kembali kempen Liga Super dalam aksi tertunda perlawanan ke-18 liga dengan langkah kiri apabila tewas di tangan pasukan pelawat Selangor FC dengan keputusan 2-4. Perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Darul Aman dalam keadaan hujan lebat nyata memberi keputusan yang negatif buat tuan rumah.

Pada aksi tersebut, KDA FC menurunkan skuad terbaik yang mereka ada dengan meletakkan 5 import sekaligus untuk bertemu lawan yang dilihat menggunakan ramai barisan pemain simpanan termasuk penjaga gol muda dari Selangor FC 2. Pada awal permainan kedua pasukan tampak seimbang dengan saling cuba berbalas serangan dan menguasai permainan.

Aksi Anu dan pemain Selangor dalam perlawanan semalam

Selangor FC kemudian lebih dominan dalam memberi asakan dengan kerap melakukan serangan dari bahagian kiri Kedah melalui ancaman import muda mereka, Hein Hteit Aung dan Danial Asri. Tuan rumah pula lebih banyak menyerap asakan dengan disiplin pertahanan yang baik dan hanya mencuba balas serangan melalui ‘counter attack’.

Gol pertama Kedah terhasil melalui serangan balas pantas hasil gerakan duo penyerang import, Tchetche Kipre dan Kpah Sherman dan hasilnya mereka berjaya mendapatkan gol pada minit ke-24. Gol ke-10 liga Kpah Sherman musim ini terhasil melalui hantaran cantik dari Kipre yang disudahkan dengan rembatan deras jarak jauh untuk menewaskan Sikh Izhan sekaligus meletakkan tuan rumah terlebih dahulu di hadapan.

Namun episod malang KDA FC bermula apabila situasi kelam kabut di hadapan gol sendiri mengundang padah akibat tindakan kontroversi import pertahanan mereka, Renan Alves yang menahan bola dengan tangan ketika satu percubaan dari Selangor FC ke gawang gol Kedah. Akibat perbuatan ini, Renan dilayangkan kad merah seawal minit ke-27 dan pasukan pelawat dihadiahkan penalti.

Tidak mensia-siakan peluang, Ifedayo Olusegun berjaya meledak gol dan kembali menyamakan kedudukan di Stadium Darul Aman. Beraksi dengan 10 pemain nyata menyukarkan pasukan kendalian Aidil Sharin untuk mengimbangi dengan baik seperti awal permainan. Anak buah Karsten Neitzel pula lebih selesa beraksi dengan melalukan hantaran-hantaran pendek dan beberapa percubaan.

Kpah Sherman cuba melepasi pertahanan Selangor semalam

Danial Asri terus menunjukkan kelebihan Selangor FC apabila berjaya meledak gol pendahuluan pula untuk pasukan pelawat apabila menerima hantaran cantik dari sebelah kanan melalui Hein Hteit Aung untuk menambah tekanan buat KDA FC pada minit ke-30.

Ketika Selangor FC merasakan separuh masa pertama akan tamat dengan mereka mendahului Kedah Darul Aman FC, Anumathan Kumar nyata tidak memberi laluan selesa dengan kembali menghidupkan peluang buat tuan rumah. Hasil tandukan jarak jauh beliau, Sikh Izhan sekali lagi tertewas untuk KDA FC menyamakan kembali kedudukan bersama Selangor FC. Keputusan kekal sehingga wisel penamat separuh masa pertama.

aksi Ifedayo semalam menentang Kedah

Bersambung babak separuh masa kedua, nyata pelawat meningkatkan intensiti serangan dengan kerap membocori bahagian kiri Kedah dengan larian-larian deras mereka. KDA FC yang turut membuat beberapa perubahan serta ada kemasukan pemain gantian turut sama mencipta beberapa gerakan namun tidak membuahkan hasil.

Selangor FC terus menghukum kealpaan KDA FC menerusi penyerang sensasi, Ifedayo apabila pemain ini sekali menjaringkan gol peribadi ke-2 beliau pada minit ke-75 untuk sekali lagi mendahului tuan rumah. Aidil Sharin melakukan beberapa rombakan pemain dengan menukarkan kesemua import kepada pemain tempatan pada penghujung aksi, namun semuanya tampak tidak menjadi dan Selangor FC terus meningkatkan ancaman ke kubu lawan.

Saat KDA FC mula kembali mendapat rentak untuk menyerang, hasil satu serangan balas Ifedayo berjaya melakukan larian solo untuk melengkapkan jaringan hatrik beliau sekaligus memacu kemenangan Selangor FC di tempat lawan pada minit kecederaan. Keputusan penuh, Kedah Darul Aman FC 2-4 Selangor FC.

aksi Danel di separuh masa kedua semalam natar Kedah v Selangor

Rumusan perlawanan semalam nyata nasib tidak menyebelahi kita walaupun bermula dengan sangat baik sebelum itu. Lebih 70 hari tanpa sebarang perlawanan, kita sudah menjangkakan isu stamina dan persefahaman akan menjadi titik utama perlawanan semalam.

Namun pujian harus diberikan kepada Rizal Ghazali khususnya yang berjaya mengekang kemaraan lawan di zon beliau. Pertarungsn individu antara Rizal dan Jordan Ayimbila antara suatu yang menghiburkan perlawanan semalam. Masing-masing cuba melepasi antara satu sama lain dan bertanding secara fizikal.

Kpah Sherman nyata konsisten dengan aksi beliau sebagai penyerang. Berjaya meledak gol. Itulah tugas utama penyerang. Namun beliau dilihat sering terputus hubungan dengan pemain lain dan terpaksa ‘drop deep’ untuk sama-sama membina serangan.

Bahagian tengah antara yang agak kritikal kerana daya kreativiti dan cengkaman yang agak lemah. Lawan dengan pasukan yang mempunyai barisan tengah yang kuat akan terus menunjukkan sisi kelemahan kita di posisi tersebut. Amirul, Anumathan, Baddrol perlu meningkatkan kreativiti dan persefahaman yang baik. Walaupun tidak dibuli teruk, namun Kedah tenggelam dengan penguasaan lawan di tengah.

Renan Alves, pertahanan import ini terus memberi isu kontroversi dalam perlawanan bersama pasukan. Permainan baru menginjak ke minit 27, namun beliau sudah melangkah keluar kerana layangan kad merah. Suatu tindakan kurang bijak sebenarnya bagi penulis akan aksi pemain ini.

Ketika pasukan KDA FC menerima kuarantin, beliau antara yang lantang di laman sosial kerana ingin bermain. Namun ketika diberi peluang bermain, hanya 27 minit sahaja masa diambil beliau untuk beraksi dan memberi masalah buat rakan sepasukan lain dari segenap penjuru.

aksi Amirul Hisham dalam perlawanan semalam

Tidak dinafikan beliau antara pertahanan kental yang bagus secara fizikal namun beliau amat lemah dalam melakukan keputusan dan berfikir di atas padang. Aksi-aksi kontroversi beliau pastinya akan dikenang dalam kalangan penyokong selain menjadi antara pemain yang tidak beraksi di mana-mana final bersama KDA FC. Mungkin pihak pengurusan boleh mengkaji semula masa depan beliau bersama KDA FC.

Untuk jurulatih Kedah, Aidil Sharin pula kita harus akui perlawanan ini merupakan perlawanan rasmi pertama selepas lama tidak beraksi. Namun penulis merasakan itu sahaja yang dipamerkan sejak awal liga bermula.

Tiada mobiliti dalam pergerakan, mengharapkan gerak-gerak individu, ‘direct football’, dan lebih kebergantungan buat Kipre dan Kpah dalam mencipta serangan mahupun jaringan. Beliau juga mempunyai masalah ketika mahu melakukan pertukaran pemain yang dilihat tidak mempunyai visi.

Pemain Selangor meraikan jaringan gol keempat semalam

Moga aksi menentang Penang FC nanti menjadi titik tolak terbaik buat pasukan ini dan kembali bangkit berjuang dalam mendapatkan 3 mata dan memperbaiki keputusan di liga. KDA FC sudah tewas 4 perlawanan. Maka perlawanan semalam diharap menjadi kekalahn terakhir buat kita semua.

Ayuh bangkit semula dan tekadkan impian bersama pasukan kesayangan kita!

Pulun Kedah Pulun!

oleh Mohd Afiq Hafizzuddin

#arenahijaukuning #kdafc #lottomy #kakijersi #viksproperties #cafediem #ezzonecomm #pulunkedahpulun #aorora