Hanya Beberapa Bulan Kim Pan-gon Berjaya Ubah Malaysia Menjadi Hebat, Aidil Sharin Sampai Bila?

created by InCollage

Malaysia telah pun melayakkan diri saingan Piala Asia setelah kali terakhir beraksi di pentas tersebut pada tahun 1980.

Antara muka penting di sebalik kejayaan tersebut, pastinya terarah buat pengendali Harimau Malaya iaitu Kim Pan-gon.

Pengendali dari Korea Selatan tersebut bejaya menaikkan kembali mutu bola sepak negara setelah skuad kebangsaan tampil hambar pada tahun lalu terutama sekali dalam aksi Piala AFF di Singapura.

Sementara di Kedah, Aidil Sharin dilihat masih lagi mencari keserasian antara pemain serta sukar untuk memberikan impak dalam corak permainannya walaupun sudah beberapa tahun mengendalikan kelab tersebut.

Ini 3 perkara Aidil boleh pelajari daripada Pan-gon mengenai kejayaan beliau membentuk skuad kebangsaan dengan baik.

Ada DNA bola sepak tersendiri

Pan-gon hadir ke Malaysia dalam usaha untuk membentuk kembali pasukan tersebut supaya kembali digeruni di rantau asia.

Kemasukan Pan-gon pada awalnya disertai beberapa staf kejurulatihan beliau yang dapat dilihat pengendali ini mahu menanam DNA tersendiri dalam bola sepak Malaysia.

Aksi kemenangan Malaysia mengatasi Turkmenistan mengejutkan ramai pihak

Hasilnya, corak permainan skuad kebangsaan dilihat kembali memikat para penyokong untuk melihat serta mula mengejutkan lawan seperti Hong Kong, Turkmenistan, dan Bahrain.

Lebih menarik, walaupun bertukar pemain yang berbeza, gaya permainan diterapkan tetap sama dan masa diambil beliau juga singkat dalam membentuk kombinasi dan persefahaman sesama pemain.

Barisan pemain yang sesuai untuk falsafah pasukan

Menolak isu pemilihan Guilherme de Paula, semua pemain skuad kebangsaan kali ini berpeluang untuk tersenarai dalam kesebelasan utama pasukan.

Pan-gon dilihat menitik beratkan kesesuain pemain untuk digunakan dalam skuad kendalian beliau dan tidak sekadar mengambil pemain selaku penumpang dalam Harimau Malaya.

Kita boleh lihat bagaimana kualiti pemain simpanan dan utama tidak jauh berbeza dan dapat disesuaikan ikut kehendak Pan-gon.

Syamer Kutty menjadi pemain kunci buat taktikal Pan-gon setakat ini

Aidil Sharin perlu mempelajari perkara tersebut sekiranya mahu terus membentuk pasukan yang berdaya saing. Jurang kualiti permainan antara pemain simpanan dan kesebelasan utama agak berbeza dalam pasukan Kedah.

Jika diikutkan, musim ini Kedah mendapat pemain lebih berkualiti di barisan simpanan dan utama dalam membentuk ‘squad depth’ bagi persaingan domestik serta Piala AFC.

Kualiti pemain baharu seperti Khairu Azrin, Azmeer Aris, dan Amirul Azhan dilihat masih kurang memberi impak dalam pasukan biarpun menjadi bintang di kelab lama.

Tempoh masa pembentukan skuad

Hanya enam bulan masa diambil Pan-gon untuk membentuk skuad yang berjaya mempamerkan aksi berkualiti tinggi, falsafah jelas, dan melayakkan Malaysia ke Piala Asia 2023.

Dalam tempoh enam bulan tersebut, hanya beberapa kali skuad kebangsaan ini dikumpul bersama dan Pan-gon berjaya membentuk mereka mengikut kehendak taktikal dan falsafahnya.

Empat tahun bersama Kedah, Aidil masih lagi celaru untuk menurunkan falsafahnya

Aidil perlu meneliti perkara tersebut dan tempoh 4 tahun diberi setakat ini, Kedah dilihat masih kecelaruan identiti permainan mereka di atas padang.

Ditambah dengan rombakan agak besar setiap tahun, sukar untuk Aidil mempunyai pemain kunci tersendiri dalam percaturan taktikalnya.