3 Faktor Kedah Bakal Membawa Kemenangan Pertama Aksi Malam Ini

created by inCollage

Oleh: Afiq Rowley (Mohd Afiq Hafizuddin)

Malam ini Kedah antara pasukan yang bakal membuka kembali tirai Liga Super untuk musim 2022 dengan membawa harapan para penyokong untuk meraih keputusan positif

Untuk rekod, Sang Kenari pada musim lalu berjaya meraih gelaran naib juara dalam saingan tersebut dan bakal menjadi sekali lagi antara pasukan pilihan untuk meraih juara bagi edisi 2022.

Berdepan dengan naib juara Liga Premier musim lalu, Sarawak United di gelanggang lawan tampak skuad kendalian B. Satiananthan berkelebihan dengan para penyokong mereka pasti bakal memberi sokongan penuh buat pasukan tersebut.

Namun Kedah tetap mempunyai kelebihan tersendiri untuk menyangkal lawan dan bakal membawa pulang tiga mata berharga kembali ke Alor Star.

Tiga faktor mengapa Kedah bakal menawan Sarawak malam ini adalah:-

Taktikal dan Jurulatih

Aidil Sharin antara jurulatih Liga Super paling menyerlah

Aidil Sharin yang berasal dari Singapura sudah pun bersama skuad ini sejak musim 2019 dan para pemain sudah memahami benar apa yang diinginkan beliau atas padang.

Faktor persefahaman ini memudahkan pengendali tersebut untuk menyusun atur para pemain yang bersesuaian dan pengalaman beliau beberapa tahun di Liga Super menjadikan kembali Kedah selaku salah satu pasukan elit.

Untuk pramusim ini, beberapa rombakan telah dibuat beliau corak permainan yang diterapkan Aidil juga dilihat semakin meningkat dengan sistem hantaran pendek dan serangan pantas dari sebelah sisi.

Pengalaman Kedah Lebih Baik

Kedah merupakan pasukan yang dilihat sangat baik dari segenap aspek terutama sekali berdasarkan pengalaman mereka yang sudah terbiasa beraksi dalam perlawanan intensiti lebih tinggi dan tidak kekok beraksi dalam apa jua tekanan.

Berbanding Sarawak, skuad kendalian Satiananthan ini buat pertama kali kembali beraksi di Liga Super dan tekanan bertemu lawan yang lebih baik pastinya dirasai tambahan beraksi di laman sendiri yang pastinya para penyokong menagih sesuatu yang baik.

Kedah mempunyai pengalaman yang cukup baik dalam peringkat tertinggi Liga Malaysia

Faktor pengalaman Sarawak pula boleh dilihat pada aksi SMJ Cup lalu apabila Kedah mudah memanipulasi permainan lawan dari segi pengalaman untuk mengajar naib juara Liga Premier itu bola sepak bukan hanya pada barisan pemain yang handal sahaja.

Pilihan Para Pemain Kedah Lebih Menyerlah

Walaupun musim ini bakal beraksi tanpa bekas pemain tengah mereka, Baddrol Bakhtiar dan pertahanan negara, Rizal Ghazali, Kedah berjaya menandatangani beberapa pemain lain yang dapat menampung ketiadaan bekas-bekas tonggak mereka.

Nama pemain seperti Amer Azahar, Amirul Azhan, Al-Hafiz Harun, Khairu Azrin, dan Azmeer Aris antara bukti Kedah tidak perlu merasa kehilangan pemain lalu atas faktor pemain baharu ini juga dilihat sangat bagus pada aksi pramusim.

Amer Azahar cemerlang pada pramusim ini

Kedah juga berjaya mendapatkan salah seorang import terbaik musim lalu dalam saingan Liga Malaysia, Dechi Marcel yang dilihat menjadi pemain paling penting sepanjang aksi pramusim ini dalam sistem Aidil Sharin.

Selain itu, skuad ini juga mempunyai penyerang negara yang dilihat sangat menyerlah dalam menghasilkan lima gol dan empat bantuan gol dari 12 perlawanan pramusim iaitu Syafiq Ahmad.

Apapun, marilah kita sama-sama berdoa dan berharap agar Kedah mampu memperoleh tiga mata penuh untuk meningkatkan motivasi skuad ini pada perlawanan akan datang.

Pulun Kedah Pulun!